Indeks Keterjaminan Makanan Malaysia meningkat 61.5

Laporan awalan Indeks Keterjaminan Makanan Malaysia 2024 akan dimuktamadkan selepas proses penambahbaikan / Foto BERNAMA 

RINGKASAN BERITA AI
  • Dimensi kebolehcapaian tertinggi (79.9) menunjukkan import menampung kekurangan pengeluaran domestik.
  • Ketersediaan makanan masih perlu diperkukuh melalui pertanian yang lebih moden, komersial dan berdaya tahan.
  • Kerajaan memperluas penggunaan teknologi moden seperti IoT dan dron untuk meningkatkan produktiviti pertanian.
  • Perubahan iklim, konflik dan gangguan rantaian bekalan menekan harga makanan dunia, menjejaskan negara pengimport seperti Malaysia.

PUTRAJAYA, 6 Julai – Malaysia mencatatkan peningkatan dalam Indeks Keterjaminan Makanan Malaysia 2024 apabila merekodkan skor 61.5 berbanding 54.5 pada tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan tahap keterjaminan makanan negara yang semakin kukuh.

Ketua Perangkawan , Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menjelaskan daripada empat dimensi utama yang dinilai, aspek kebolehcapaian mencatat skor tertinggi iaitu 79.9, diikuti masing-masing, kestabilan (54.6), penggunaan (50.4) dan ketersediaan (50).

“Pencapaian tinggi dalam dimensi kebolehcapaian menunjukkan Malaysia masih mampu memastikan bekalan makanan mencukupi menerusi import bagi menampung kekurangan pengeluaran domestik.

“Bagaimanapun, aspek ketersediaan khususnya pengeluaran makanan dalam negara masih perlu diperkukuh melalui pembangunan sektor pertanian yang lebih moden, komersial dan berdaya tahan.

“Ini sebabnya fokus ekonomi pada masa hadapan perlu memberi penekanan kepada pengukuhan sektor pertanian. Saya jangka langkah itu akan membantu meningkatkan Indeks Keterjaminan Makanan negara,” katanya pada program wacana khas Simfoni Data dan Media.

Beliau turut menyatakan, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan skor indeks ialah usaha kerajaan memperluas penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian seperti Internet Kebendaan (IoT) dan dron bagi meningkat produktiviti.

“Laporan awalan Indeks Keterjaminan Makanan Malaysia 2024 akan dimuktamadkan selepas proses penambahbaikan, termasuk pembangunan papan pemuka digital bagi memudahkan akses kepada data serta analisis berkaitan keterjaminan makanan negara,”katanya lagi.

Mengulas situasi global, beliau memaklumkan berdasarkan laporan Keselamatan Makanan dan Nutrisi (SOFI) 2024, seramai 673 juta penduduk dunia masih berdepan kelaparan, manakala lebih 2.3 bilion lagi mengalami ketidakjaminan makanan pada tahap sederhana hingga teruk.

“Perubahan iklim, konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos tenaga terus memberi tekanan kepada harga makanan dunia dan memberi kesan kepada negara pengimport makanan seperti Malaysia,”jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.