
KUALA LUMPUR, 17 April – Ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan yang kukuh dengan unjuran pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus bagi suku tahun pertama 2026.
- Sektor Perkhidmatan terus menjadi pemacu utama, dipacu perdagangan borong dan runcit serta lonjakan aktiviti pusat data dan kecerdasan buatan.
- Sektor Pembuatan merekod pertumbuhan disokong eksport, terutamanya produk elektrik dan elektronik serta produk minyak dan lemak.
- Pembinaan berkembang kuat disumbang aktiviti pertukangan khas; pertanian meningkat hasil subsektor kelapa sawit dan ternakan.
- Sektor perlombongan dan pengkuarian merosot akibat pengeluaran minyak mentah dan gas asli yang lebih rendah.
Angka berkenaan menyederhana berbanding 6.3 peratus pada suku sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk’ Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, menyatakan bahawa pertumbuhan berkenaan mencerminkan asas ekonomi yang kekal utuh meskipun berdepan dengan kenaikan harga minyak dunia dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.
“Prestasi ekonomi Malaysia pada suku tahun pertama 2026 mencerminkan ekonomi yang kekal berdaya tahan secara asasnya.
“Sektor Perkhidmatan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan KDNK secara keseluruhan, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang mampan serta pasaran buruh yang stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai prestasi sektoral, Sektor Perkhidmatan mencatatkan peningkatan 5.4 peratus yang didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit serta lonjakan aktiviti berkaitan pusat data dan kecerdasan buatan dalam subsektor maklumat dan komunikasi.
Sektor Pembuatan turut merekodkan pertumbuhan 5.8 peratus hasil sokongan kukuh industri berorientasikan eksport seperti produk elektrik dan elektronik serta produk minyak dan lemak.
Ujar beliau, sektor pembinaan mencatatkan pertumbuhan 7.8 peratus yang disumbangkan terutamanya oleh aktiviti pembinaan pertukangan khas, manakala sektor pertanian berkembang 2.8 peratus hasil sumbangan subsektor kelapa sawit dan ternakan.
Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan sektor perlombongan dan pengkuarian merosot kepada negatif 1.1 peratus seiring dengan pengeluaran minyak mentah dan gas asli yang lebih rendah.
Beliau turut menekankan bahawa aktiviti ekonomi domestik dirangsang oleh perbelanjaan bermusim sempena Tahun Baharu Cina serta persiapan menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta pelaksanaan fasa kedua semakan gaji penjawat awam turut menyumbang secara signifikan kepada kestabilan jualan perdagangan.
Dalam pada itu, DOSM kini sedang giat melaksanakan Banci Ekonomi 2026 (BE2026) yang bertemakan “Data Nadi Ekonomi Rakyat” untuk menilai struktur ekonomi negara secara komprehensif.
Analisis terperinci mengenai prestasi ekonomi bagi suku tahun pertama 2026 itu dijadualkan akan diterbitkan secara rasmi pada 15 Mei 2026.