
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Ekonomi Malaysia diunjur terus mempamerkan daya tahan meskipun konflik di Asia Barat masih berterusan.
- BNM unjur pertumbuhan KDNK 2026 antara 4.0 hingga 5.0 peratus, dengan kemungkinan berada di bahagian atas julat.
- Petunjuk berfrekuensi tinggi menunjukkan aktiviti ekonomi sedikit menyederhana pada suku kedua 2026.
- Permintaan domestik kekal berdaya tahan disokong pasaran buruh stabil, eksport kukuh dan pelaburan berterusan.
- Aliran pelaburan kekal kukuh, didorong projek pusat data, permintaan berkaitan AI dan sektor E&E serta kadar pelaksanaan tinggi.
Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, petunjuk berfrekuensi tinggi menunjukkan aktiviti ekonomi mencatat sedikit penyederhanaan pada suku kedua 2026.
Beliau yakin ekonomi negara akan kekal berkembang dengan pertumbuhan bagi keseluruhan tahun ini dijangka menyederhana dan berada dalam lingkungan unjuran 4.0 hingga 5.0 peratus.
”Ia masih merupakan kadar pertumbuhan yang baik mengambil kira perkembangan ekonomi global ketika ini. Malah terdapat kemungkinan pertumbuhan ekonomi bagi keseluruhan tahun berada pada bahagian atas julat unjuran tersebut,” jelasnya.
Jelas beliau, keyakinan terhadap unjuran itu disokong oleh beberapa faktor, termasuk konflik yang semakin mereda serta keadaan bekalan global yang lebih stabil apabila syarikat menyesuaikan operasi melalui kepelbagaian rantaian bekalan dan sumber alternatif.
“Bekalan tenaga telah kembali stabil. Orang ramai sentiasa mencari jalan untuk mendapatkan bekalan. Perniagaan juga bertindak pantas menyesuaikan diri dan keadaan itu membantu menstabilkan harga,” katanya.
”Permintaan domestik juga kekal berdaya tahan, disokong oleh pasaran buruh yang stabil, prestasi eksport yang kukuh serta aktiviti pelaburan yang berterusan,” katanya.
Sementara itu, kadar pengangguran diunjur kekal sekitar 2.9 hingga 3.0 peratus, menghampiri paras guna tenaga penuh.
Pertumbuhan eksport yang kukuh juga dijangka terus menyokong pasaran buruh dan seterusnya merangsang penggunaan swasta.
Beliau berkata pemacu utama pertumbuhan ekonomi akan terus berkembang, dengan negara dijangka mendapat manfaat daripada permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta sektor elektrik dan elektronik (E&E).
”Aliran pelaburan juga kekal kukuh, didorong oleh pelaksanaan projek baharu dan sedia ada seperti pembangunan pusat data, selain pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan.
“Kadar pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan kekal tinggi dan ini diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi sebenar,” katanya.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dalam kemas kini prospek ekonomi globalnya mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 4.7 peratus bagi 2026.
Menurut IMF, Malaysia mendapat manfaat daripada aktiviti pembangunan pusat data serta pemulihan kitaran teknologi global.
Anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2026 dijadual akan diumumkan pada 17 Julai, manakala angka rasmi KDNK dijadualkan dikeluarkan pada pertengahan Ogos.