Ekonomi biru pemacu baharu pertumbuhan negara

Kelebihan geografi negara dengan garisan pantai melebihi 4,600 kilometer serta keluasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) lebih 350,000 kilometer persegi membuka ruang besar untuk pembangunan sektor berasaskan marin. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 April – Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya potensi ekonomi biru sebagai pemangkin pertumbuhan negara, khususnya ketika konflik global semasa mula memberi tekanan kepada sektor pelancongan dan ekonomi domestik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memanfaatkan ekonomi biru sebagai pemangkin pertumbuhan negara ketika konflik global memberi tekanan kepada pelancongan dan ekonomi domestik.
  • Manfaatkan kawasan maritim secara strategik untuk menjana sumber ekonomi mampan, berdaya tahan dan bernilai tinggi.
  • Alihkan sektor perikanan kepada aktiviti bernilai tinggi, seperti perikanan laut dalam dan pengeluaran produk hiliran berasaskan hasil laut.
  • Perkembangkan bidang e-DNA dan bioprospeksi serta tingkatkan akses pembiayaan dan dasar proaktif untuk kestabilan bekalan dan daya tahan ekonomi.

Pengarah Pusat Pemajuan Ekonomi Biru Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Hazman Samsudin, berkata kelebihan geografi negara dengan garisan pantai melebihi 4,600 kilometer serta keluasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) lebih 350,000 kilometer persegi membuka ruang besar untuk pembangunan sektor berasaskan marin.

Menurut beliau, keluasan kawasan maritim negara yang jauh lebih besar berbanding daratan perlu dimanfaatkan secara lebih strategik bagi menjana sumber ekonomi baharu yang mampan, berdaya tahan dan bernilai tinggi.

Dalam sektor perikanan, Malaysia masih dilihat tertumpu kepada aktiviti bernilai tambah rendah dan keadaan itu perlu diubah dengan memberi tumpuan kepada aktiviti bernilai tinggi seperti perikanan laut dalam serta penghasilan produk hiliran berasaskan hasil laut.

“Bukan sekadar menjual hasil tangkapan secara mentah, sebaliknya ia perlu dipelbagaikan kepada produk bernilai tambah tinggi bagi meningkatkan pendapatan industri,” katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia secara dalam talian.

Selain sektor perikanan, ekonomi biru juga mempunyai potensi besar dalam bidang DNA persekitaran (e-DNA) dan bioprospeksi, yang kini semakin meluas penggunaannya terutama dalam industri farmaseutikal.

Beliau turut menekankan keperluan suntikan kemudahan kewangan kepada sektor berkenaan, yang ketika ini dilihat masih menerima akses pembiayaan yang terhad.

Mengulas situasi konflik di Asia Barat, beliau berpandangan kesannya terhadap permintaan domestik dijangka minimum sekiranya kerajaan terus mengambil langkah proaktif bagi memastikan kestabilan bekalan bahan api.

Bagaimanapun, katanya, tindakan segelintir pihak yang melakukan pembelian panik atau menyimpan stok bahan api secara berlebihan boleh memberi kesan negatif kepada pasaran.

“Tindakan ‘stockpiling’ ini boleh mendorong kenaikan harga dan seterusnya memberi tekanan kepada kos sara hidup,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak memainkan peranan dalam memastikan kestabilan pasaran serta menyokong usaha kerajaan untuk terus memperkukuh daya tahan ekonomi negara.