Dana Impak perlu fokus syarikat bernilai tambah tinggi

Pensyarah Kanan Ekonomi Pertahanan UPNM, Dr Nur Surayya Mohd Saudi

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Pelaburan RM2.6 bilion menerusi Dana Impak perlu disalurkan kepada syarikat yang berpotensi meningkatkan produktiviti, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prioritaskan sektor bernilai tambah tinggi seperti semikonduktor, pembuatan termaju, AI, keselamatan siber dan teknologi hijau.
  • Pemilihan syarikat berdasarkan penggunaan bakat tempatan, R&D domestik, kadar upah, penggunaan pembekal tempatan dan potensi eksport.
  • Sokongan disesuaikan mengikut peringkat: pemula perlukan modal awal, bimbingan perniagaan, perlindungan harta intelek dan peluang pelanggan pertama.
  • Kejayaan diukur bukan hanya nilai syarikat tetapi jumlah pekerja mahir, peningkatan gaji, nilai eksport dan modal swasta ditarik masuk.

Pensyarah Kanan Ekonomi Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Nur Surayya Mohd Saudi berkata, keutamaan perlu diberikan antaranya kepada sektor bernilai tambah tinggi seperti semikonduktor, pembuatan termaju, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan teknologi hijau.

Bagaimanapun, pemilihan syarikat tidak seharusnya berasaskan sektor semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira penggunaan bakat dan pembekal tempatan, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam negara, kadar upah serta potensi eksport.

“Kita perlu membina satu rangkaian lengkap, daripada pendidikan, pengkomersialan dan pengembangan pasaran sehingga syarikat tempatan mampu menjadi peneraju industri.

“Dalam menilai Dana Impak, kita tidak boleh melihat pertumbuhan nilai syarikat sahaja. Ukurannya perlu berdasarkan jumlah pekerja mahir, peningkatan gaji, peningkatan nilai eksport, penggunaan pembekal tempatan serta jumlah modal swasta yang berjaya ditarik masuk menerusi dana ini,” katanya.

Pada masa sama, bentuk sokongan yang disediakan perlu disesuaikan mengikut tahap perkembangan setiap syarikat.

Bagi syarikat pemula, tumpuan boleh diberikan kepada penyediaan modal awal, bimbingan perniagaan, perlindungan harta intelek serta peluang memperoleh pelanggan pertama.

“Sementara syarikat yang berada pada peringkat pengembangan memerlukan sokongan dalam aspek automasi, tadbir urus, pensijilan serta akses kepada pasaran antarabangsa,” katanya.

Pendekatan itu dilihat mampu membentuk ekosistem lengkap daripada pembangunan bakat dan pengkomersialan sehingga syarikat tempatan berkembang menjadi peneraju industri.

Menurut beliau, kejayaan Dana Impak akhirnya bukan hanya dinilai berdasarkan jumlah pelaburan atau bilangan syarikat menerima pembiayaan, tetapi sejauh mana ia melahirkan syarikat tempatan yang lebih produktif dan berdaya saing serta meningkatkan pendapatan pekerja.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.