
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras semasa menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang kelima pada 3 September ini, menurut kumpulan teknologi hartanah antarabangsa, Juwai IQI.
- OPR berpotensi meningkat pada 2027 susulan momentum pertumbuhan ekonomi yang kukuh.
- Ekonomi Malaysia berkembang lebih kukuh dari jangkaan; inflasi keseluruhan kekal di bawah dua peratus.
- Kos pembiayaan perumahan stabil jangka pendek; kadar dijangka meningkat jangka panjang, harga kediaman dijangka naik antara 1 hingga 3.5 peratus.
Bagaimanapun, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, penanda aras kadar faedah utama itu berpotensi meningkat pada 2027 susulan momentum pertumbuhan ekonomi yang kukuh.
Beliau berkata ekonomi Malaysia berkembang lebih kukuh daripada jangkaan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat enam peratus pada suku kedua, manakala 2026 dijangka menjadi tahun ketiga berturut-turut negara mencatatkan pertumbuhan sekurang-kurangnya lima peratus.
“Dengan pertumbuhan seperti ini, terdapat kebimbangan bahawa tekanan inflasi juga mungkin meningkat. Namun, inflasi keseluruhan kekal di bawah dua peratus setakat tahun ini.
“Berdasarkan kadar semasa, bank pusat berkemungkinan tidak melihat keperluan untuk menaikkan OPR pada September,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas implikasinya terhadap pasaran kediaman, Kashif berkata ketiadaan kenaikan kadar faedah bermakna kos pembiayaan perumahan dijangka kekal stabil dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, katanya, dalam jangka panjang, arah kadar faedah dijangka meningkat, sekali gus memberi kelebihan kepada pembeli yang mempunyai kemampuan kewangan untuk mendapatkan pembiayaan lebih awal.
“Jika anda mampu membeli dan mengunci kadar pembiayaan untuk tempoh dua hingga tiga tahun, anda mungkin dapat menjimatkan kos tambahan sekiranya kadar meningkat dalam tempoh tersebut,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata keadaan pasaran pekerjaan dan pendapatan isi rumah yang kukuh dijangka terus menyokong permintaan terhadap hartanah kediaman.
Juwai IQI menjangkakan harga kediaman meningkat antara satu hingga 3.5 peratus, dengan permintaan tertumpu kepada kediaman bertanah yang mempunyai akses baik, kondominium berhampiran rangkaian pengangkutan awam serta hartanah di koridor pekerjaan utama.
“Secara keseluruhannya, prospek kami terhadap kadar faedah, ekonomi dan pasaran adalah positif,” katanya.