Sektor perlombongan dijangka pacu pertumbuhan Sime

Datuk Jeffri Salim Davidson

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Sime Darby Berhad (Sime) menjangkakan pemulihan dalam industri perlombongan menjadi pemangkin utama pertumbuhan kumpulan pada tahun kewangan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Segmen industri, termasuk perlombongan, menunjukkan pemulihan dengan peningkatan kontrak pembaikan dan pembinaan semula.
  • Pembangunan pesat pusat data di semua wilayah operasi menawarkan peluang besar kepada pertumbuhan kumpulan.
  • Segmen Automotif: China kekal mencabar; operasi Malaysia dan Singapura catat prestasi positif, model baharu dilancar akhir tahun.
  • Prestasi kewangan kukuh, untung bersih teras RM1.55 bilion, hasil RM69.5 bilion, jumlah dividen setakat 14 sen sesaham.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, beberapa perniagaan berkaitan industri berkenaan mula menunjukkan tanda pemulihan, dengan momentum semasa dijangka semakin kukuh.

Permintaan terhadap kerja-kerja pembinaan semula turut menunjukkan perkembangan positif, sekali gus memberi prospek lebih baik kepada segmen perindustrian.

“Dari perspektif segmen industri, perniagaan perlombongan kembali menunjukkan tanda-tanda pemulihan semula dan kami menjangkakan momentum ini akan lebih kukuh serta berterusan.

“Jumlah kontrak bagi pembaikan dan pembinaan semula juga sedang meningkat. Selain itu pembangunan pesat pusat data di semua wilayah operasi kami juga menawarkan peluang besar kepada pertumbuhan syarikat,” katanya pada taklimat media Tahun Kewangan 2026 secara maya.

Bagi segmen Automotif pula, pasaran China diunjur kekal mencabar, manakala operasi di Malaysia dan Singapura terus mencatat prestasi positif, disokong pelancaran model baharu di China pada penghujung tahun ini.

Sime mencatat untung bersih teras sebanyak RM1.55 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, meningkat 32.6 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi positif itu dipacu sumbangan lebih kukuh bahagian Automotif, manakala hasil kumpulan berjumlah RM69.5 bilion, berbanding RM70.1 bilion tahun sebelumnya.

Sime turut mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 11 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi tahun kewangan semasa sebanyak 14 sen sesaham, atau kira-kira RM954 juta.

Bagi suku keempat, untung bersih teras meningkat 55 peratus kepada RM518 juta, disokong prestasi lebih baik bahagian automotif, termasuk peningkatan jualan kenderaan elektrik di Singapura.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.