Belanjawan 2027 wajar lanjut pengecualian duti setem pembeli rumah pertama – Juwai IQI

Gambar Hiasan/RTM

KUALA LUMPUR, 13 SeptemberBelanjawan 2027 perlu melanjutkan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama, selain memudah cara akses pembiayaan bagi segmen rumah mampu milik untuk meningkatkan keupayaan rakyat memiliki kediaman sendiri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengecualian duti setem kini beri manfaat kepada kira-kira 76 peratus pembeli, menjimatkan sehingga RM11,250.
  • Kegagalan melanjutkan pengecualian boleh timbulkan ketidakpastian dan menyebabkan pemaju menangguhkan projek rumah mampu milik.
  • Kerajaan disaran memudahkan akses pembiayaan dan mengembalikan Kempen Pemilikan Rumah untuk diskaun pemaju serta bantu kelulusan pinjaman.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, pengecualian yang kini berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2027 itu memberi manfaat kepada lebih tiga daripada empat pembeli rumah dengan penjimatan sehingga RM11,250.

Menurut beliau, pengecualian berkenaan meliputi duti setem bagi instrumen pindah milik dan perjanjian pinjaman untuk rakyat Malaysia yang membeli rumah pertama berharga sehingga RM500,000 dan ke bawah, merangkumi kira-kira 76 peratus daripada keseluruhan pembelian kediaman.

“Dengan pengecualian ini, pembeli tidak perlu membayar duti setem bagi pindah milik dan perjanjian pinjaman. Namun, bayangkan jika seseorang membeli rumah tanpa pengecualian tersebut.

“Jika membeli rumah pertama berharga RM500,000 dengan pinjaman 90 peratus, mereka perlu membayar kira-kira RM9,000 bagi pindah milik dan RM2,250 bagi perjanjian pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, kegagalan melanjutkan pengecualian sehingga 2028 juga boleh menimbulkan ketidakpastian kepada pembeli rumah, khususnya mereka yang membuat tempahan kediaman pada 2027 tetapi hanya menandatangani perjanjian jual beli pada 2028.

“Tidak melanjutkan pengecualian itu menerusi Belanjawan 2027 juga boleh menjejaskan bekalan rumah mampu milik yang berkualiti. Sebarang ketidakpastian mengenai status pengecualian pada 2028 boleh menyebabkan pemaju menangguhkan projek yang dicadangkan ketika ini, iaitu pada 2026,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, katanya kerajaan juga disaran membantu pembeli mendapatkan pembiayaan dalam segmen rumah mampu milik, memandangkan kadar penolakan permohonan pinjaman perumahan masih tinggi, sekali gus menyukarkan golongan yang sebenarnya mampu memiliki rumah.

“Kami berharap kerajaan mengembalikan semula Kempen Pemilikan Rumah yang bukan sahaja memberikan pengecualian duti setem kepada pembeli, malah turut menawarkan diskaun daripada pemaju.

“Kempen Pemilikan Rumah boleh menjimatkan kira-kira RM45,000 bagi pasangan muda yang membeli rumah pertama berharga RM450,000, selain penjimatan duti setem sekitar RM10,000, sekali gus memudahkan pembeli mendapatkan kelulusan bagi permohonan pinjaman perumahan,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.