
SUBANG JAYA, 13 September – Industri tenaga solar berharap Belanjawan 2027 memberi tumpuan terhadap memperkukuh pertumbuhan sektor tenaga boleh baharu (TBB), termasuk meningkatkan daya tarikan pelaburan dalam industri berkenaan.
- Lanjutkan dan tingkatkan Investment Tax Allowance kepada 100% untuk merangsang pelaburan serta pengembangan ladang solar.
- Sediakan lebih banyak insentif melalui green sukuk dan pembiayaan kadar rendah bagi menyokong skema solar sifar CAPEX dan Rent To Own.
- Percepat pemasangan solar, pelaksanaan kecekapan tenaga di bangunan kerajaan dan penambahbaikan infrastruktur grid TNB untuk sokong pusat data.
Penasihat Industri Tenaga Boleh Baharu dan Alam Sekitar (PINTARE), Datuk Dr Ir. Guntor Tobeng berkata, langkah itu penting bagi memperluas kapasiti tenaga solar serta mempercepat peralihan kepada sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan.
“Pertama, kita berharap kerajaan melanjutkan tempoh Investment Tax Allowance (ITA) sedia ada dan meningkatkannya daripada 70 kepada 100 peratus bagi membantu pelabur serta pemaju ladang solar mengembangkan perniagaan.
Kedua, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak insentif melalui green sukuk atau pembiayaan pada kadar lebih rendah bagi membolehkan lebih banyak sistem solar sifar CAPEX atau Rent-To-Own dilaksanakan di kediaman,” katanya kepada RTM di sini.
Ujarnya, meskipun rebat RM3,000 bagi pemasangan solar telah disediakan, kos permulaan yang tinggi masih menjadi antara kekangan pengguna untuk beralih kepada tenaga solar.
Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan dapat mempercepat pemasangan solar dan pelaksanaan kecekapan tenaga di bangunan kerajaan dalam mengembangkan ekonomi hijau dan TBB.
Langkah itu juga penting bagi mempercepat pencapaian sasaran yang digariskan menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Sementara itu, beliau berkata peningkatan permintaan tenaga daripada industri pusat data turut memerlukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempercepat pelaburan dan penambahbaikan infrastruktur grid.
Ia bagi memastikan kapasiti bekalan elektrik mampu menampung pertumbuhan pusat data yang semakin pesat, selain menyokong keperluan tenaga negara pada masa depan.