
ANGKASAPURI KOTA MEDIA, 20 September – Peruntukan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) perlu diteruskan menerusi Belanjawan 2027 bagi membantu golongan berpendapatan tidak tetap termasuk pekerja sektor tidak formal dan gig dalam mendapatkan pembiayaan perumahan.
- Peruntukan jaminan mesti mencukupi untuk memberi keyakinan kepada perbankan meluluskan pembiayaan perumahan.
- Belanjawan 2026 memperuntuk SJKP RM20 bilion, jumlah terbesar dalam sejarah skim itu.
- Ahyat: jaminan boleh dikurangkan berperingkat apabila pendapatan dan akses ekonomi rakyat meningkat.
- Belanjawan 2027 wajar jadi langkah awal melaksanakan Dasar Perumahan Negara 2026-2035 dan menyediakan rumah mampu milik.
Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah, Datuk Ahyat Ishak berkata, peruntukan yang mencukupi penting bagi menyediakan jaminan kepada pihak perbankan untuk meluluskan pembiayaan perumahan kepada golongan berkenaan.
Beliau berkata, peruntukan jaminan RM20 bilion bagi SJKP yang diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2026 merupakan jumlah terbesar dalam sejarah skim berkenaan.
“Rakyat sangat memerlukan jaminan ini buat masa sekarang. Namun, apabila pendapatan dan akses rakyat kepada ekonomi semakin baik, peruntukan SJKP boleh dikurangkan secara berperingkat sehingga suatu ketika nanti jaminan kredit perumahan ini tidak lagi diperlukan atau hanya melibatkan jumlah yang lebih kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Bual Biz RTM, di sini.
Mengulas Dasar Perumahan Negara 2026–2035, Ahyat berkata Belanjawan 2027 merupakan belanjawan pertama selepas dasar berkenaan dilancarkan pada Ogos lepas, sekali gus menjadi peluang penting untuk kerajaan merealisasikan agendanya.
“Kerajaan bukan sahaja perlu menyediakan satu juta rumah tetapi rumah yang mampu milik serta sepadan dengan keperluan dan kehendak rakyat,” katanya lagi.
Beliau berkata, Belanjawan 2027 wajar menjadi langkah awal dalam menjayakan pelaksanaan Dasar Perumahan Negara bagi tempoh 10 tahun akan datang.