Zon Pembangunan Ladang Hutan di Perak terkawal

Foto BERNAMA

IPOH, 16 April – Pelaksanaan Zon Pembangunan Ladang Hutan (ZPLH) di Perak adalah terkawal dengan hanya melibatkan keluasan kira-kira tiga peratus daripada keseluruhan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan ZPLH dihadkan kepada 32,375 hektar daripada 100,000 hektar diluluskan untuk menyeimbangkan pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar.
  • Pembangunan dilaksanakan secara berfasa untuk pemantauan berkesan dan mengawal impak terhadap ekosistem; tiada perancangan menambah keluasan ZPLH.
  • Jabatan Perhutanan kenal pasti spesies bernilai tinggi seperti eucalyptus, getah klon balak dan batai sesuai dikembangkan di tanah marginal.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata daripada 100,000 hektar yang diluluskan, kerajaan negeri menetapkan pelaksanaan sebenar hanya melibatkan 32,375 hektar bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar.

Menurutnya, pembangunan ladang hutan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pemantauan yang lebih berkesan, selain mengawal impak terhadap ekosistem hutan di negeri ini.

“Saya menegaskan bahawa pembukaan kawasan ladang hutan dalam HSK adalah tertakluk sepenuhnya kepada had keluasan ZPLH yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri. Pada masa ini, Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membuka atau menambah keluasan baharu bagi ZPLH di negeri Perak.

Sehingga akhir Disember 2025, hampir keseluruhan keluasan yang ditetapkan telah diluluskan, dengan hanya berbaki kira-kira 800 hektar yang belum diberikan kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Pengkalan Baharu, Azman Noh pada Persidangan Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan telah mengenal pasti beberapa spesies bernilai tinggi seperti eucalyptus, getah klon balak dan batai yang berpotensi menjana pulangan ekonomi serta sesuai dibangunkan di kawasan tanah marginal.