
KUALA LUMPUR, 16 April – Lebih 800 soalan dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 yang bakal bermula pada Isnin depan.
- Persidangan memberi tumpuan kepada cabaran ekonomi, kos sara hidup meningkat dan kesan terhadap harga bahan keperluan.
- Soalan hangat mengenai kesiapsiagaan kerajaan Selangor hadapi krisis harga barangan dan minyak susulan peperangan di Asia Barat.
- Rang undang undang berkaitan pemakaian Akta Perhutanan Negara dijangka dibentangkan dalam sidang.
Speaker DUN Selangor, Lau Weng San berkata, daripada jumlah itu hanya 10 peratus soalan ditolak, kebanyakannya atas faktor teknikal seperti tidak relevan, berulang atau tidak mematuhi peraturan tetap dewan.
Persidangan dijangka memberi tumpuan kepada cabaran ekonomi semasa yang memberi kesan kepada rakyat, termasuk peningkatan kos sara hidup dan harga bahan keperluan.
“Antara soalan yang hangat kali ini adalah berkaitan kesiapsiagaan kerajaan Selangor menghadapi krisis harga barangan dan minyak yang mungkin sedang berlaku akibat peperangan di Asia Barat.
“Saya jangkakan kerajaan akan memberi sedikit sebanyak rancangan terkini atau dasar terkini untuk membantu rakyat mengatasi masalah tekanan hidup dan harga barang,” katanya selepas ditemubual dalam program Info Jendela di Konti Selangorfm di sini.
Selain itu, satu rang undang-undang berkaitan pemakaian Akta Perhutanan Negara dijangka dibentangkan dalam sidang kali ini.
Dalam pada itu, Lau turut mengingatkan semua ADUN agar mengambil bahagian secara aktif dan berhemah dalam perbahasan, bagi memastikan setiap keputusan yang dicapai memberi manfaat kepada rakyat serta pembangunan negeri.
Sidang DUN Selangor berlangsung selama dua minggu sehingga 4 Mei depan.