
KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Kerajaan meningkatkan peruntukan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) daripada RM1 juta tahun ini kepada RM2.5 juta pada 2027 bagi memperkukuh kebajikan atlet negara, khususnya mereka yang telah bersara.
- Bilangan atlet menerima manfaat Skim Bantuan Khas meningkat: 1,094 (2024), 1,478 (2025) dan 1,223 sehingga Sept, bantuan RM928,000.
- ISN perkenalkan protokol intervensi pantas empat langkah bagi penilaian mental, latihan simulasi tekanan, intervensi langsung dan penilaian selepas pertandingan.
- KBS tekankan pembangunan modal insan melalui 21 ILKBS dengan hampir 15,000 pelatih, fokus TVET serta peningkatan perkhidmatan makanan.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata menerusi Skim Bantuan Khas di bawah YAKEB, sebanyak 1,094 atlet telah menerima manfaat pada 2024 yang kemudian meningkat kepada 1,478 atlet pada 2025 dan setakat Sept lepas, sebanyak 1,223 atlet menerima bantuan berjumlah RM928,000.
“Peningkatan itu menunjukkan bahawa kerajaan cakna kepada kebajikan atlet yang berdepan masalah,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut memberi perhatian kepada aspek psikologi dan kesihatan mental sebagai komponen penting dalam pembangunan atlet secara menyeluruh.
Sehubungan itu, katanya, Institut Sukan Negara (ISN) memperkenalkan protokol intervensi pantas empat langkah di arena pertandingan merangkumi penilaian mental, latihan simulasi tekanan, intervensi secara langsung serta pemfokusan semula dan penilaian selepas pertandingan.
Mengulas mengenai pembangunan belia, Mohammed Taufiq berkata KBS terus memberi penekanan kepada pembangunan modal insan secara holistik menerusi 21 Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di seluruh negara yang kini mempunyai hampir 15,000 pelatih.
Beliau berkata Belanjawan 2027 turut menyediakan peruntukan RM8 bilion bagi memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selaras dengan usaha memenuhi keperluan tenaga mahir negara.
“Di bawah KBS, sebanyak 80 peratus latihan memberi tumpuan kepada kemahiran teknikal, manakala baki 20 peratus menekankan pembentukan sahsiah dan jati diri melalui pelaksanaan program kemasyarakatan serta aktiviti lapangan,” katanya.
Beliau berkata KBS turut memperluas akses latihan kemahiran kepada golongan berkeperluan khas menerusi Program Latihan Kemahiran Inklusiviti Belia Autisme dan berkeperluan khas, khususnya mereka yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian dalam sistem pendidikan arus perdana.
Katanya, antara kejayaan inisiatif itu dapat dilihat menerusi penglibatan graduan TVET dalam kalangan individu autisme yang kini bekerja di sebuah kafe di Menara KBS Putrajaya, termasuk sebagai tukang masak dan juruwang.
Dalam aspek kebajikan pelatih pula, beliau berkata peruntukan bagi perkhidmatan bekalan makanan bermasak di ILKBS meningkat daripada RM35 juta kepada RM40 juta menerusi Belanjawan 2027.
“Peningkatan peruntukan ini dibuat susulan maklum balas pelatih dalam beberapa sesi dialog bersama kementerian berhubung keperluan menambah baik penyediaan makanan selepas sekian lama tiada peningkatan peruntukan berkaitan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kadar kebolehpasaran graduan ILKBS meningkat daripada 96.41 peratus pada 2025 kepada 97.36 peratus pada 2026, manakala purata gaji graduan turut meningkat daripada RM2,079 kepada RM2,174 dalam tempoh sama.- BERNAMA