Mahasiswa tertakluk undang-undang, tindakan berdasarkan peraturan

Foto Jabatan Penerangan

KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Mahasiswa yang melakukan kesalahan berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tertakluk kepada peruntukan Kanun Keseksaan dan undang-undang kesalahan jenayah syariah, selain peraturan tatatertib universiti masing-masing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Timbalan Menteri menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat mengenai tindakan terhadap mahasiswa dan kakitangan yang terbabit dengan aktiviti berkaitan LGBT.
  • Kementerian menyediakan khidmat kaunseling profesional, bimbingan agama, kerohanian dan program pembangunan sahsiah untuk membantu mahasiswa.
  • Bagi mahasiswa Islam, bimbingan disediakan melalui Pusat Islam universiti termasuk nasihat agama, usrah dan bimbingan fardu ain sukarela.
  • Terdapat 249 pegawai psikologi di universiti awam untuk menyokong kesejahteraan emosi dan psikologi mahasiswa.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, universiti atau mana-mana pihak akan bertindak berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Di Malaysia, setiap individu tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk pelajar universiti. Ini merangkumi peruntukan di bawah Kanun Keseksaan serta undang-undang kesalahan jenayah syariah yang berkuat kuasa di negeri masing-masing.

Sehubungan itu, pihak universiti dan mana-mana pihak berkaitan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkenaan.

Adam Adli menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad di Dewan Rakyat yang meminta penjelasan mengenai tindakan terhadap mahasiswa dan kakitangan universiti yang terbukti menganjurkan, mempromosikan atau menyebarkan aktiviti berkaitan LGBT.

Katanya, setiap universiti mempunyai statut masing-masing yang menggariskan bentuk hukuman bagi kesalahan di bawah peraturan institusi berkenaan.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Tinggi menyediakan khidmat kaunseling profesional, bimbingan agama dan kerohanian serta program pembangunan sahsiah bagi membantu mahasiswa menangani cabaran sosial dan psikologi.

Bagi mahasiswa Islam, khidmat bimbingan disediakan menerusi Pusat Islam universiti, termasuk nasihat agama, usrah dan bimbingan fardu ain secara sukarela.

Kementerian turut memaklumkan bahawa terdapat 249 pegawai psikologi di universiti awam bagi menyokong kesejahteraan emosi dan psikologi mahasiswa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.