RUU tadbir urus AI dibentang awal tahun depan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Kertas cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) telah dimuktamadkan dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat, sebelum dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat awal tahun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • RUU bertujuan memperkukuh akauntabiliti dan pengurusan risiko dalam pembangunan serta penggunaan teknologi AI.
  • Kerangka merangkumi pengurusan risiko AI, akauntabiliti pihak terlibat, mekanisme pelaporan dan pengurusan insiden.
  • AI Malaysia Berhad menyatukan pakar untuk menasihati penambahbaikan kerangka kawal selia antara kementerian dan agensi.
  • Kerjasama ASEAN dan pengukuhan Akta Keterangan serta Kanun Acara Jenayah bagi menangani isu teknologi baharu dalam pendakwaan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, RUU berkenaan bertujuan memperkukuh akauntabiliti serta pengurusan risiko dalam pembangunan dan penggunaan teknologi AI.

“Secara prinsipnya, kerangka RUU ini merangkumi aspek pengurusan risiko AI, akauntabiliti pihak yang terlibat dalam pembangunan dan penggunaan teknologi berkenaan, serta mekanisme pelaporan dan pengurusan insiden.

“Pendekatan ini memastikan tanggungjawab ditentukan berdasarkan peranan, tahap kawalan dan risiko yang berkaitan dengan sesuatu sistem AI sepanjang kitar hayatnya,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad, yang ingin mengetahui status penggubalan RUU Tadbir Urus AI.

Dalam pada itu, kerajaan turut memperkukuh kerjasama antara kementerian dan agensi berkaitan menerusi AI Malaysia Berhad, yang menghimpunkan pakar untuk memberikan nasihat mengenai kerangka kawal selia sedia ada serta penambahbaikan bagi menangani cabaran teknologi baharu.

Kerjasama dengan negara anggota ASEAN turut dilaksanakan bagi merangka pendekatan bersepadu berkaitan piawaian dan kawal selia AI, sekali gus memastikan perundangan dalam bidang berkenaan lebih seragam dan konsisten.

Selain itu, kerajaan sedang memperkukuh perundangan sedia ada, termasuk Akta Keterangan dan Kanun Acara Jenayah, bagi memastikan isu berkaitan teknologi baharu dapat ditangani dengan lebih berkesan, khususnya dalam proses pendakwaan dan pengendalian keterangan di mahkamah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.