BATU NIAH, 22 September - Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas sejak seminggu lalu berakhir dengan penemuan mayatnya dalam keadaan reput di tepi jalan di Sebubok, Batu Niah, malam tadi.
Mangsa dikenali sebagai Chong Nyuk Fan, 77, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Senadin, Miri pada 14 September lalu dengan memandu kenderaan pacuan empat roda.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kereta mangsa kali terakhir dikesan berada di tepi Jalan Pan Borneo berhampiran simpang Ngu, Niah pada 17 September, sebelum ditemukan oleh ahli keluarga tanpa kelibat mangsa.
"Usaha mencari mangsa oleh keluarga sejak itu tidak berhasil, sebelum laporan polis dibuat pada 21 September dan pihak bomba menghantar enam anggota bersama dua jentera ke lokasi.
"Pencarian dalam radius 50 meter dari lokasi kereta menemukan mangsa kira-kira 20 minit kemudian, di kawasan rumput tinggi di bahu jalan, dalam keadaan telah reput.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, dan operasi ditamatkan pada pukul 12.20 tengah malam," menurut kenyataan itu.