Warga emas didenda RM9,000 pamer nombor pendaftaran palsu

Mahkamah Majistret menjatuhkan denda RM9,000 terhadap warga emas yang mengaku bersalah mempamerkan nombor pendaftaran palsu/Foto RTM

KULAI, 14 Januari – Seorang warga emas didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan yang bukan milik kereta dipandunya, awal bulan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Denda RM9,000 dijatuhkan terhadap warga emas yang mengaku bersalah mempamerkan nombor pendaftaran palsu.
  • Kesalahan melibatkan nombor pendaftaran Singapura yang tidak sepadan dengan kenderaan dipandu.
  • Insiden berlaku di sebuah stesen minyak di Kulai, Johor pada 2 Januari sekitar 10.30 malam.
  • Rakaman tular menunjukkan plat nombor ditutup sebahagian dan individu menegur pemilik semasa mengisi petrol.

Orang Kena Saman (OKS), Long Sa Kow, 64, yang memegang status penduduk tetap (PR) Singapura, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Salini.

Mengikut pertuduhan, OKS sebagai pemandu sebuah kereta bernombor pendaftaran Singapura didapati mempamerkan nombor pendaftaran yang tidak sepadan dengan kenderaan dipandunya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di Kulai, Johor pada pukul 10.30 malam, 2 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya manakala OKS diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli.

Sebelum ini, tular di media sosial satu rakaman video memaparkan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang menutup sebahagian plat nombor dipercayai bagi mengaburi perbuatan mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di daerah Kulai.

Rakaman video berdurasi satu minit 30 saat itu turut menunjukkan seorang individu mengesan dan menegur perbuatan pemilik kenderaan terbabit yang sedang mengisi petrol RON95.