UniMAP jayakan lebih 10 projek komuniti menerusi Kampung Angkat MADANI 2025

Naib Canselor UniMAP, Datuk Profesor Ts. Dr. Zaliman Sauli (tengah) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) Kampung Sena, Mazlan Ahamat

ARAU, 14 Januari– Lebih 10 projek komuniti berjaya dilaksanakan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi Program Kampung Angkat MADANI 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • UniMAP laksanakan lebih 10 projek komuniti melalui Program Kampung Angkat MADANI 2025, memberi manfaat terus kepada penduduk Kampung Sena.
  • Projek merangkumi pemasangan lampu solar, latihan servis motosikal, dan asas pendawaian elektrik untuk belia.
  • Program juga menyediakan kem Matematik, ziarah warga emas, kaunseling dan nasihat kesihatan kepada penduduk.

Menurut Naib Canselor UniMAP, Datuk Profesor Ts. Dr. Zaliman Sauli, ia sekali gus memberi manfaat langsung kepada lebih 700 penduduk Kampung Sena, di Arau Perlis.

Program inisiatif kerajaan MADANI itu melibatkan pelaksanaan projek fizikal dan pembangunan insan.

Antaranya, pemasangan 100 lampu solar, latihan servis motosikal dan asas pendawaian elektrik kepada kumpulan belia, serta kem Matematik khusus untuk pelajar Tingkatan 4 dan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Program ini merupakan hasil inisiatif Kerajaan MADANI melalui Jabatan Perdana Menteri yang telah menyalurkan peruntukan kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi melaksanakan pelbagai program berbentuk fizikal dan bukan fizikal di kampung ini, dalam tempoh kurang daripada enam bulan,” kata Datuk Profesor Ts. Dr. Zaliman kepada pemberita.

“Manfaat program ini dirasai oleh pelbagai peringkat masyarakat, bermula daripada golongan remaja sehingga warga emas. Bagi peringkat remaja dan belia, ia melibatkan pelajar sekolah serta golongan belia, manakala bagi warga emas pula, ziarah dilakukan kepada mereka yang sakit atau terlantar, termasuk pemberian kaunseling serta nasihat kesihatan oleh pihak UniMAP,” kata Mazlan Ahamat, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) Kampung Sena.

UniMAP komited melaksanakan tanggungjawab sosial universiti agar kehadiran institusi itu dapat dirasai seluruh masyarakat, yang selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.