KPDN perketat pemantauan stesen minyak di sempadan

KPDN Kedah mempertingkat pemantauan dan rondaan di stesen minyak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand bagi mengelak ketirisan petrol RON95. Foto RTM

ALOR SETAR, 14 Januari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah akan melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand bagi memastikan ketirisan tidak berlaku, susulan insiden serangan letupan bom di hampir 12 stesen minyak di selatan Thailand, Ahad lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemantauan dan rondaan di stesen minyak sempadan dipertingkatkan untuk mengelakkan ketirisan RON95.
  • Penekanan kawalan lebih ketat di kawasan berisiko tinggi berterusan seperti Kubang Pasu.
  • Arahan larangan jualan RON95 kepada kenderaan asing telah dikeluarkan kepada semua pengusaha stesen.
  • KPDN menggesa kerjasama orang ramai dan media untuk menyalurkan maklumat pantas dan telus.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata tumpuan pemantauan dan rondaan akan dipertingkatkan di stesen minyak berhampiran kawasan sempadan, khususnya di daerah Kubang Pasu.

Beliau berkata langkah itu selari dengan pendekatan yang dilaksanakan pada tahun-tahun sebelumnya, dengan kawalan lebih ketat di kawasan sempadan dan stesen minyak berisiko tinggi.

“Kita akan terus meningkatkan pengawalan di sempadan dan stesen minyak berhampiran bagi memastikan ketirisan tidak berlaku. Semua langkah ini diharap dapat membendung sebarang penyalahgunaan,” katanya.

Muhammad Nizam turut mengharapkan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kenderaan asing yang mengisi minyak di stesen minyak sekitar Kedah.

Menurut beliau, arahan larangan serta kawalan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan asing telah dikeluarkan kepada semua pengusaha stesen minyak di seluruh Kedah sejak 29 April tahun lalu.

Setakat ini, KPDN Kedah telah mengambil tindakan terhadap satu kes melibatkan kenderaan asing mengisi minyak RON95 di Sungai Petani selepas kejadian itu ditularkan oleh orang awam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Media dan Pengguna Tahun 2025, malam tadi.

Dalam pada itu, Muhammad Nizam berharap kerjasama antara media dan KPDN Kedah dapat diteruskan bagi memastikan penyampaian maklumat kepada orang awam dapat dilakukan dengan lebih cepat dan telus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.