
PUTRAJAYA, 15 Jun– Warga asing termasuk pelarian Rohingya tidak menerima subsidi rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan dan dikenakan kadar caj lebih tinggi berbanding rakyat tempatan.
- KKM memperkukuh kutipan bil dan mengurangkan tunggakan pesakit warga asing; bil tertunggak turun kepada RM33.46 juta pada 2024.
- KKM kekal dengan dasar kemanusiaan No Wrong Door Policy; pesakit diberi rawatan sewajarnya sebelum tuntutan kos dibuat.
- Data KKM tidak menunjukkan lonjakan pesakit Rohingya; masyarakat diseru berhati-hati dan jangan bentuk persepsi tidak selari dengan fakta.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, dasar itu telah lama dilaksanakan dan tiada layanan istimewa diberi kepada mana-mana warga asing dalam aspek caj rawatan.
Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) turut memperkukuh usaha kutipan bil bagi mengurangkan tunggakan melibatkan pesakit warga asing.
“Bil tertunggak menunjukkan trend penurunan dari tahun ke tahun.
Pada 2024, jumlah yang ditanggung ialah RM33.46 juta berbanding kira-kira RM35 juta pada 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara KKM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, KKM kekal berpegang kepada dasar kemanusiaan menerusi konsep No Wrong Door Policy yang memastikan pesakit menerima rawatan sewajarnya sebelum proses tuntutan kos rawatan dibuat.
Menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly, kementerian turut mewajibkan deposit bagi rawatan tertentu serta mengambil tindakan susulan terhadap majikan yang gagal menjelaskan bil pekerja asing.
Jelas beliau, KKM juga bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu kes melibatkan warga asing yang benar-benar tidak berkemampuan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengulas dakwaan berlaku peningkatan mendadak kehadiran pelarian Rohingya di fasiliti kesihatan kerajaan.
Beliau memberitahu, setakat ini KKM tidak menerima laporan yang menunjukkan lonjakan luar biasa.
Sebaliknya, data dan pemantauan kementerian mendapati jumlah kehadiran pesakit Rohingya masih berada pada paras biasa.
“Saya tidak melihat ada peningkatan melebihi paras biasa. Setakat ini tiada laporan mengenai lonjakan atau kebanjiran pesakit Rohingya di fasiliti kesihatan kerajaan.
“Mungkin persepsi di luar sana ketika ini lebih tertumpu kepada isu Rohingya, tetapi daripada data dan pemerhatian KKM, tiada peningkatan luar biasa yang direkodkan,” katanya.
Beliau menyeru masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam membuat andaian dan tidak membentuk persepsi yang tidak selari dengan fakta sebenar.