Wanita maut, anak parah dirempuh lori

FOTO POLIS ROMPIN

ROMPIN, 21 Mei – Seorang wanita maut manakala anak lelakinya yang berusia enam tahun cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori di Kilometer 64 Jalan Ibam – Rompin, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lori dipercayai hilang kawalan selepas enjin mati, stereng menjadi berat ke sebelah kanan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
  • Lori dalam perjalanan dari Seledang ke Muadzam Shah; motosikal dari Muadzam Shah ke Rompin ketika rempuhan berlaku.
  • Pemandu lori tidak cedera tetapi disaman kerana mengubah suai ekzos; kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu dipercayai berpunca daripada lori tersebut yang secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

Siasatan awal mendapati semasa kejadian lori tersebut dalam perjalanan dari Seledang menghala ke Muadzam Shah manakala motosikal ditunggang mangsa dari Muadzam Shah ke Rompin.

“Enjin lori berkenaan mati secara tiba-tiba menyebabkan stereng kenderaan itu menjadi berat ke sebelah kanan, sebelum merempuh motosikal mangsa di laluan bertentangan.

“Akibat rempuhan tersebut, mangsa, Normala Siti, 31 tahun, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia pada pukul 7.45 malam ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Muadzam Shah.

“Manakala anaknya, Cheau Ket Daren, turut parah dan sedang menerima rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan.

Pemandu lori berusia 40 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun dikenakan saman atas kesalahan mengubah suai ekzos.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.