WANG KELIAN, 5 Disember- Wang Kelian bakal dibangunkan sebagai sebuah bandar sempadan melalui Rancangan Kawasan Khas (RKK) yang sedang giat dijalankan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (PLANMalaysia).
Usaha itu sekali gus bakal mengukuhkan lagi aktiviti pelancongan dan perdagangan di sekitar sempadan Perlis-Thailand.
Wang Kelian dilihat berpotensi untuk dibangunkan selain mempunyai pelbagai tarikan dalam sektor termasuk pertanian, pelancongan serta perdagangan.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata melalui RKK itu juga, Wang Kelian bakal dijadikan sebagai mercu tanda kepada Perlis dalam terus memacu lagi ekonomi negeri terutamanya dalam sektor pelancongan.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kerjasama daripada kerajaan pusat bagi merealisasikan pembangunan di Wang Kelian.
"Dengan infrastruktur yang ada ini, ia perlukan kerjasama daripada kerajaan pusat. Bantuan daripada kerajaan pusat itu yang akan menentukan hala tuju RKK ini akan menjadi kenyataan, dengan lebih cepat.
Kita harap kerajaan pusat akan membantu seperti yang saya lihat dalam pameran tadi, prasarana yang akan dibina di kawasan ini memerlukan belanja yang cukup tinggi," kata Mohd Shukri kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RKK Pembangunan Wang Kelian, di sini.
Hadir sama, Ketua Pengarah PLANMalaysia, Dr Alias Rameli.
Tambah beliau, sekiranya laluan bebas dapat diwujudkan kembali di pintu sempadan Wang Kelian akan merancakkan lagi pembangunan yang dirancang itu.