Komisen tiket bas dipantau

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Kerajaan akan memantau kadar komisen penjualan tiket bas menerusi platform dalam talian milik terminal bagi memastikan caj yang dikenakan munasabah dan lebih rendah berbanding ejen tiket dalam talian (OTA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Menjamin terminal bas memperoleh pulangan untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan.
  • Penjualan tiket dialihkan ke portal atau laman web terminal supaya komisen diperoleh pihak terminal, bukan OTA.
  • Kadar komisen kepada syarikat bas dijanjikan lebih rendah berbanding OTA, meningkatkan pulangan pengusaha bas.
  • Syarikat bas boleh mengintegrasikan laman web sendiri dengan sistem terminal; APAD hadkan jualan tiket ke portal berlesen mulai 1 November.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata langkah itu bagi memastikan terminal bas memperoleh pulangan untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan, selain mengurangkan kebergantungan kepada OTA yang berpangkalan di luar negara.

“Bagi syarikat bas, mereka tidak akan mengalami sebarang kerugian kerana pada masa ini, penjualan tiket juga dilakukan menerusi OTA. Apa yang ingin diubah ialah saluran penjualan tiket supaya dilakukan melalui portal terminal bas, sekali gus membolehkan komisen diperoleh pihak terminal dan bukannya OTA.

“Perbezaannya terletak pada caj dan kadar komisen yang dikenakan. Kerajaan sudah tentu akan memantau perkara itu bagi memastikan caj tidak melebihi kadar yang dikenakan OTA.

“Malah, komitmen yang diberikan kepada kerajaan ialah kadar komisen kepada syarikat bas akan lebih rendah berbanding OTA, sekali gus memberikan pulangan lebih baik kepada pengusaha bas.

“Justeru, saya berpandangan syarikat bas tidak akan mengalami kerugian kerana mereka yang sudah mempunyai laman web sendiri boleh mengintegrasikannya dengan sistem terminal bas,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Puteh berhubung ketetapan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang hanya membenarkan penjualan tiket bas ekspres menerusi terminal atau laman web berlesen, berkuat kuasa 1 November ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.