
KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Usaha Malaysia membangunkan keupayaan reka bentuk cip tempatan berdepan cabaran besar daripada segi kos pembangunan teknologi, khususnya bagi cip yang lebih kompleks.
- Kos pembangunan cip tinggi; anggaran AS$50 juta hingga AS$300 juta bergantung kerumitan.
- Kerjasama strategik dengan Arm mempercepat pembangunan dan menjimatkan masa syarikat tempatan.
- Empat daripada tujuh syarikat Chip Design System telah mula beroperasi: Zenith, Sky Chip, Great ASIC, Opstar.
- Kekangan modal dan akses pembiayaan, serta keupayaan membawa produk ke pasaran, menghalang pertumbuhan industri reka bentuk cip.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kos membangunkan cip bergantung pada tahap kerumitan teknologi dengan anggaran sekitar AS$50 juta bagi cip yang lebih ringkas dan boleh mencecah AS$300 juta bagi cip yang kompleks.
Beliau berkata, akses kepada teknologi Arm menerusi kerjasama strategik kerajaan dapat membantu mempercepatkan proses pembangunan cip dan menjimatkan masa syarikat tempatan.
“Setakat hari ini, daripada tujuh syarikat Chip Design System (CSS) yang dikenal pasti, kita telah memulakan kerjasama dengan empat syarikat. Syarikat yang pertama ialah Zenith Technology, yang lebih memfokuskan kepada pembangunan cip berkaitan industri automotif.
“Kedua, Sky Chip, sebuah syarikat tempatan yang menggunakan cip CSS untuk aplikasi pusat data (data centre). Ketiga, Great ASIC Technology, yang turut memberikan tumpuan kepada pembangunan cip untuk pusat data. Keempat ialah Opstar Technology, sebuah lagi syarikat tempatan yang memfokuskan kepada pembangunan cip untuk pelayan mini (mini server).
“Jadi, setakat ini, empat daripada tujuh syarikat CSS telah dikenal pasti. Baki tiga syarikat lagi masih belum dilaksanakan.
“Bagaimanapun, pembangunan cip ini memerlukan kos yang tinggi dan bukanlah sesuatu yang murah. Walaupun kita telah memberikan sokongan awal atau ‘jump-start’, dengan nilai token sebanyak RM30 juta hingga RM40 juta, proses untuk menyiapkan pembangunan cip tersebut masih mengambil masa,bergantung pada jenis teknologi dan spesifikasi cip yang ingin dibangunkan,” beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berhubung jumlah syarikat semikonduktor yang mendapat insentif dalam program Kerangka Insentif Baharu (NIF) di Dewan Rakyat pada Rabu.
Pada masa sama, Datuk Seri Johari memaklumkan, kekangan modal merupakan antara cabaran yang dihadapi syarikat tempatan bagi menceburi aktiviti semikonduktor bernilai tinggi.
Katanya, akses kepada teknologi dan harta intelek sahaja tidak mencukupi, keupayaan mendapatkan pembiayaan, membangunkan produk serta membawa cip tempatan ke pasaran turut menjadi faktor penting dalam membina industri reka bentuk cip negara.