
PUTRAJAYA, 21 Oktober -Solat hajat akan diadakan di tiga masjid bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi mendoakan keselamatan Masjid Al-Aqsa di Palestin serta kesejahteraan Malaysia dalam menghadapi musibah jerebu.
- Inisiatif susulan seruan Menteri dan titah Sultan supaya umat Islam memanjatkan doa memohon perlindungan untuk Masjid Al-Aqsa.
- JAKIM menyeru umat Islam mengimarahkan masjid dan memperkukuh kesatuan ummah.
- Doa dipertingkatkan demi keselamatan saudara Islam di Palestin serta kesejahteraan rakyat Malaysia menghadapi jerebu.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata solat hajat itu akan dilaksanakan selepas solat Jumaat minggu ini, di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
“Inisiatif ini susulan seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, serta titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, supaya umat Islam melaksanakan solat hajat dan
memanjatkan doa bagi memohon perlindungan Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan.
JAKIM turut menyeru umat Islam supaya bersama-sama mengimarahkan masjid, memperkukuh kesatuan ummah dan memperbanyakkan doa demi keselamatan saudara Islam di Palestin serta kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.