fb fb fb fb fb

Wan Junaidi angkat sumpah sebagai TYT Sarawak

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi / Foto BERNAMA

KUCHING, 29 Januari - Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan (ke-8) di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini.

Beliau mengangkat sumpah dihadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Dato Abdul Rahman Sebli dan disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier, serta menteri-menteri kabinet negeri. 

Terdahulu sejurus tiba di Dataran Perbarisan Kompleks Dewan Undangan Negeri, Tun Dr. Wan Junaidi menyempurnakan Istiadat Kawalan Keselamatan Utama.

Tun Dr. Wan Junaidi 77 tahun dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak, mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Januari 2024 hingga 26 Januari 2028.

Beliau menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan itu sejak 1 Mac 2014.

Tun Dr. Wan Junaidi menerima surat daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Jumaat lepas.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD