TANJONG MALIM, 9 April– Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menerima kunjungan hormat delegasi Southeast Asian Ministers of Education Organization Regional Centre for Special Educational Needs (SEAMEO SEN), sekali gus memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan khas dan inklusif di rantau Asia Tenggara.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata kunjungan itu merupakan satu penghormatan besar kepada UPSI dan mencerminkan komitmen bersama dalam memperluas jaringan kerjasama serantau dalam bidang pendidikan khas.
Menurut beliau, komitmen UPSI dalam bidang tersebut dizahirkan melalui penubuhan 'Centre for Inclusive Research on Community and Disability' (CIRCLE), iaitu pusat kecemerlangan yang memfokus kepada penyelidikan dan pembangunan ke arah pemerkasaan komuniti serta individu berkeperluan khas.
"Melalui Fakulti Pembangunan Manusia UPSI (FPM) dan Jabatan Pendidikan Khas, UPSI terus menerajui latihan guru, pembangunan profesional dan kajian dalam pendidikan khas. Kolaborasi bersama SEAMEO SEN pastinya mampu memperkukuh lagi usaha ini," katanya.
Md Amin berkata hubungan antara UPSI dan SEAMEO SEN bukanlah sesuatu yang baharu, malah pihak universiti amat menghargai kerjasama sedia ada dan berharap ia dapat diperluas pada masa akan datang.
Antara cadangan kerjasama yang diketengahkan termasuk menjalankan penyelidikan bersama dalam bidang pendidikan khas dan inklusif, perkongsian fasiliti serta program latihan melalui pusat CIRCLE UPSI, penerbitan jurnal atau modul latihan secara bersama, dan pelaksanaan program mobiliti staf serta pelajar.
"UPSI kekal komited untuk menjadi rakan strategik kepada SEAMEO SEN dalam memacu dasar dan amalan pendidikan khas serta inklusif di Malaysia dan rantau ini.
“UPSI juga kini terlibat dalam projek penyelidikan pendidikan inklusif bersama SEAMEO SEN dan University of Minnesota, yang telah bermula tahun ini. Ini adalah contoh cemerlang kerjasama tiga pihak antara institusi tempatan, serantau dan antarabangsa," ujar beliau.
Sementara itu, Timbalan Pengarah SEAMEO SEN, Dr. Mohd Azlis Sani Md Jalil berkata pihaknya menyambut baik inisiatif UPSI dalam memperkukuh pendidikan inklusif dan melihat potensi besar untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai aspek.
"UPSI merupakan antara rakan strategik penting kami di Malaysia. Kami melihat banyak ruang kerjasama yang boleh diterokai khususnya dalam penyelidikan bersama, pembangunan modul latihan dan juga pertukaran kepakaran," katanya.
Beliau turut menyatakan kesediaan SEAMEO SEN untuk menyokong inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh UPSI khususnya melalui pusat CIRCLE, dalam usaha memperkasa komuniti berkeperluan khas.
"Kami percaya, melalui sinergi ini, kita mampu menghasilkan impak yang lebih besar bukan sahaja di peringkat nasional, malah serantau dan antarabangsa.
"Kami berharap kunjungan ini akan membuka lebih banyak ruang kerjasama jangka panjang dan berimpak tinggi, selari dengan aspirasi pendidikan global yang inklusif dan saksama,” katanya.