fb fb fb fb fb

UPSI cemerlang, di tangga 126 dunia dalam bidang pendidikan

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff

TANJUNG MALIM, 23 Januari- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta kejayaan cemerlang di pentas antarabangsa selepas berjaya disenaraikan dalam penarafan 'The World University Rankings by Subject 2025: Education Studies'.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata berdasarkan laporan terkini, UPSI berada di kedudukan 126 hingga 150, menunjukkan peningkatan satu anak tangga berbanding kedudukan 151 hingga 175 pada tahun lalu.

Beliau berkata penarafan itu dinilai berdasarkan beberapa kriteria utama yang meliputi pengajaran yang mengambil kira aspek kualiti persekitaran pembelajaran yang disediakan (Teaching Environment) dan persekitaran penyelidikan yang dinilai aspek jumlah, pendapatan dan reputasi dalam penyelidikan (Research Environment).

"Selain itu, turut dinilai aspek kualiti penyelidikan yang berimpak dan mempunyai pengaruh penyelidikan yang dihasilkan (Research Quality), hubungan dengan industri iaitu sumbangan universiti dalam memacu inovasi industri (Industry) serta tinjauan antarabangsa yang dilihat perspektif global yang merangkumi kolaborasi antarabangsa (International Outlook)", katanya dalam satu kenyataan.

Prof Md Amin berkata tahun lalu, UPSI berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif strategik yang signifikan, terutamanya dalam bidang pendidikan digital yang telah menyumbang kepada peningkatan penarafan ini.

Kedudukan cemerlang UPSI dalam senarai tersebut semakin mengukuhkan statusnya sebagai universiti pendidikan terkemuka di Malaysia.

“Pencapaian ini selaras dengan fokus utama UPSI dalam bidang pendidikan, menjadikannya satu-satunya institusi pengajian tinggi negara yang secara khusus berperanan dalam melahirkan pendidik berkualiti tinggi,” katanya.

Menerusi Majlis Aspirasi Naib Canselor 2025 semalam, Prof Md Amin dalam ucapannya menyatakan bahawa pencapaian ini adalah hasil pengorbanan dan usaha bersama yang membabitkan seluruh warga universiti, termasuk pelaksanaan Pelan Strategik UPSI 2021-2025.

"Pencapaian dan kejayaan ini juga selaras dengan seruan Menteri Pendidikan Tinggi dalam melonjakkan kewibawaan akademik dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia.

Beliau juga menggariskan pelbagai inisiatif berimpak tinggi berfokuskan pendidikan yang bertujuan untuk menempatkan UPSI dalam kalangan 100 universiti terbaik dunia dalam bidang pendidikan menjelang tahun 2030.

“Pencapaian ini sekali gus menjadi pengiktirafan kepada negara, khususnya dalam usaha memastikan bidang pendidikan di Malaysia terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa,” katanya.

ROSLINA BINTI DIN