Uji Bakat Bintang P. Ramlee 2026 beri peluang generasi lebih berusia tonjol bakat

Sambutan menggalakkan diterima pada uji bakat Zon Tengah/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Uji Bakat Bintang P. Ramlee 2026 Zon Tengah tampil dengan kelainan apabila julat usia peserta diperluas daripada 18 hingga 45 tahun kepada 18 hingga 60 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program tidak mencari klon P. Ramlee; peserta perlu menyampaikan karya dengan roh, suara, penghayatan dan gaya tersendiri.
  • Pertandingan telah berlangsung 33 tahun, diadakan dwitahunan dan melibatkan empat zon kebangsaan.
  • KLFM bergabung dengan Selangor FM sejak peringkat uji bakat untuk mencari wakil Zon Tengah.
  • Sambutan uji bakat menggalakkan; peserta hadir dari pelbagai lapisan usia, bawa minat, legasi dan amanah sahabat.

Penerbit Bintang P. Ramlee KLfm, Noorshafik Othman berkata, perubahan itu memberikan peluang lebih luas kepada rakyat Malaysia yang mempunyai bakat serta minat untuk menghidupkan kembali karya-karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Menurut beliau, program berkenaan bukan bertujuan mencari individu yang menyerupai atau meniru penampilan dan gaya P. Ramlee, sebaliknya peserta perlu mampu menyampaikan karya legenda itu dengan roh, suara, penghayatan dan gaya tersendiri.

“Untuk tahun ini, kami buka skop umur daripada 18 hingga 60 tahun bagi memberi lebih banyak peluang kepada mereka yang berbakat. Kami tidak mencari klon P. Ramlee, bukan mencari seseorang yang mempunyai rupa atau gaya P. Ramlee, tetapi mereka yang boleh membawa lagu-lagu P. Ramlee dengan roh, suara dan penghayatan,” katanya.

Pertandingan Bintang P. Ramlee yang telah berlangsung selama 33 tahun dan diadakan secara dwitahunan itu membabitkan empat zon, iaitu Utara, Selatan, Tengah dan Timur.

Bagi Zon Tengah tahun ini, KLFM bergabung dengan Selangor FM sejak dari peringkat uji bakat bagi mencari seorang wakil untuk mewakili zon berkenaan.

Mengenai uji bakat yang berlangsung di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri Kota Media, Noorshafik berkata, sambutan yang diterima menggalakkan dengan kehadiran peserta daripada pelbagai lapisan usia.

Sementara itu, peserta berusia 43 tahun dari Semenyih, Ismail Ibrahim berkata, minat terhadap karya P. Ramlee sejak kecil mendorongnya mencuba nasib pada uji bakat berkenaan.

“Saya memang minat dalam bidang nyanyian dan karya-karya P. Ramlee. Minat itu yang mendorong saya untuk meneruskan legasi Tan Sri P. Ramlee. Sudah lama saya ingin mencuba, tetapi kali ini baru berpeluang menyertai Bintang P. Ramlee,” katanya.

Turut mencuri perhatian, peserta dari Cheras, Kuala Lumpur, Alfian Mohd Nor, 46, yang hadir bagi menunaikan amanah sahabatnya, Allahyarham Fairuz Misran.

Menurut Alfian, arwah sahabatnya itu pernah berpesan supaya beliau mencuba uji bakat Bintang P. Ramlee sebelum meninggal dunia.

“Sahabat saya yang telah pergi meninggalkan kita, Allahyarham Fairuz Misran, sebelum beliau pergi ada menyampaikan satu amanah kepada saya. Dia pesan, ‘Pian, nanti kalau ada uji bakat Bintang P. Ramlee, kau mesti cuba’.

“Jadi, saya ingin menunaikan amanah Allahyarham. Mana tahu, mungkin ada rezeki untuk saya dalam penyertaan kali ini,” katanya.

Uji Bakat Bintang P. Ramlee 2026 Zon Tengah berlangsung hari ini (2 Ogos) dari pukul 9 pagi hingga 5 petang di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri Kota Media.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.