Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI JPJ perkasa komuniti, pendidikan

Foto fail

ALOR SETAR, 2 Ogos – Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kampung Alor Senjaya dan Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah bukan sekadar memperkasa kesejahteraan komuniti, malah memperkukuh ekosistem pendidikan setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan RM500,000 untuk inisiatif komuniti: naik taraf surau, taman permainan, pembinaan dewan terbuka dan penganjuran program kemasyarakatan.
  • RM100,000 disediakan untuk sekolah bagi pembangunan Digital Maker Hub, pusat sumber, latihan guru dan pembangunan sahsiah murid.
  • JPJ mengukuhkan peranan selain penguatkuasaan dengan menyumbang kepada pembangunan sosial, kesejahteraan komuniti dan modal insan.
  • Pelaksanaan program dijalankan menerusi kerjasama strategik bersama kementerian, agensi kerajaan dan masyarakat setempat.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di kampung berkenaan.

Antara projek yang akan dilaksanakan termasuk menaik taraf kemudahan Surau Taman Indah dan taman permainan, pembinaan dewan terbuka serta penganjuran program-program kemasyarakatan.

Manakala, RM100,000 disediakan untuk Program Sekolah Angkat di SK Titi Gajah bagi memperkasa ekosistem pembelajaran melalui pembangunan Digital Maker Hub, menaik taraf pusat sumber sekolah, pelaksanaan program latihan dan pembangunan profesional guru serta program pembangunan sahsiah murid.

“Saya berharap dengan adanya program Kampung Angkat (MADANI) bagi tahun ini di SK Titi Gajah dan Kampung Alor Senjaya.. penduduk, komuniti kampung dan juga murid-murid mendapat manfaat daripada peruntukan yang diturunkan oleh Kerajaan Persekutuan,” kata beliau.

Datuk Aedy bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Alor Senjaya dan Program Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah di sini.

Menurutnya, pelaksanaan kedua-dua program itu mencerminkan peranan JPJ yang bukan sahaja bertanggungjawab dalam aspek penguatkuasaan dan penyampaian perkhidmatan berkaitan pengangkutan jalan, malah turut menyumbang kepada pembangunan sosial, kesejahteraan komuniti serta pembangunan modal insan.

Ia menerusi kerjasama strategik bersama kementerian, agensi kerajaan dan masyarakat setempat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.