SEPANG, 11 November -Pameran Transport Exhibition Asia (TXA) bakal menjadi platform utama pemain industri tempatan dan antarabangsa bagi mempamerkan kepakaran serta penyelesaian dalam sektor pengangkutan serantau.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, TXA akan diadakan setiap dua tahun sekali bermula tahun hadapan.
Jelas beliau, acara itu berperanan mengukuhkan kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor penerbangan, maritim, darat, kenderaan berat, logistik serta penyelesaian digital.
“Mulai tahun depan, kita akan adakan expo ini secara besar-besaran setiap dua tahun. Ia akan menjadi acara berselang-seli dengan LIMA.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan turut terlibat sebagai penganjur bersama LIMA bersama Kementerian Pertahanan, namun kita rasakan wajar untuk memberi tumpuan kepada satu pameran berasingan yang khusus bagi sektor pengangkutan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan TXA dan Kongres Keselamatan Jalan Raya (RSC) 2025 di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa langkah memisahkan TXA daripada LIMA membolehkan LIMA lebih fokus kepada sektor pertahanan, sementara TXA memberi ruang khusus kepada industri pengangkutan awam dan logistik.
“LIMA kini semakin besar dan ruang pameran juga terhad. Jadi lebih baik kita fokuskan LIMA kepada pertahanan, manakala TXA menjadi pentas untuk sektor pengangkutan,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, bersama wakil industri dan agensi berkaitan.
TXA 2025 bertemakan “Future on the Move: Digital, Sustainable Transport, Agile Logistics and ESG-Driven Supply Chains”.
Ia menekankan empat strategi perubahan utama dalam memacu pembangunan pengangkutan digital, lestari dan responsif terhadap cabaran masa depan.