
ANGKASAPURI, 4 April – Pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah atau WFH dilihat sebagai strategi serampang dua mata dalam mengimbangi kos sara hidup serta memacu agenda kelestarian negara.
- Walaupun bil elektrik mungkin meningkat, pengurangan kos minyak dan tol boleh memberi penjimatan ketara jika diurus dengan cekap.
- Pengurangan penggunaan kenderaan menurunkan permintaan bahan api negara, penting ketika harga minyak global tidak menentu.
- Pelaksanaan WFH menyokong usaha kerajaan mencapai sasaran karbon sifar 2050 jika masyarakat berganding bahu.
Timbalan Dekan (Pengalaman Pelajar & Alumni) UNITEN Business School, Dr Azlina Abdullah berkata meskipun terdapat peningkatan pada bil utiliti elektrik, namun pengurangan drastik bagi kos bahan api dan tol mampu memberikan penjimatan signifikan kepada golongan pekerja sekiranya diuruskan dengan cekap.
“Walaupun dari segi elektrik mungkin ada peningkatan, tetapi di dalam kos minyak dan tol akan berlaku pengurangan. Jadi di situ saya percaya ianya akan lebih kepada penjimatan jika dilakukan dengan cekap. Untuk negara pula, WFH sudah pastinya membantu kerajaan mempunyai impak positif kepada ekonomi.”
Mengulas lanjut, Dr. Azlina menekankan bahawa pengurangan penggunaan kenderaan secara tidak langsung menurunkan permintaan bahan api nasional, terutama ketika harga minyak dunia kini tidak menentu kesan konflik di Asia Barat.
“Apabila WFH ini dilaksanakan, saya yakin ianya dapat membantu kerajaan mencapai sasaran tersebut. Jika kita berganding bahu bersama-sama kerajaan, untuk mencapai sasaran karbon sifar 2050 itu tidak mustahil.”