
ANGKASAPURI, 4 April – Penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan atau AI dalam industri muzik tempatan kini mencetuskan polemik baru, terutamanya membabitkan isu kebergantungan dan perlindungan hak cipta.
- AI mampu meniru emosi tetapi tidak menghayati; hasilnya sering lirik mengarut dan struktur lagu salah.
- Penyalahgunaan AI menimbulkan risiko tuntutan palsu dan pengautan royalti atas karya janaan mesin.
- MACP menetapkan karya janaan penuh AI tidak layak didaftarkan atau menerima agihan royalti.
- MyIPO menegaskan perlindungan hanya untuk individu; latihan data tanpa kebenaran dianggap pelanggaran undang-undang.
Komposer veteran, Helen Yap Yu Pit berpandangan, kemunculan AI umpama pedang bermata dua; ia mampu memacu kreativiti namun berisiko menjadi ancaman besar sekiranya disalah guna sehingga menjejaskan keaslian sesebuah karya seni.
“AI boleh meniru emosi, tetapi manusia mengalami emosi. Jadi, ia tidak boleh menandingi manusia. Jika kita dengar lagu-lagu raya janaan AI sekarang, banyak lirik yang mengarut serta struktur lagu yang salah. AI sebenarnya belum sempurna seperti sentuhan manusia.”
Kebimbangan kini memuncak apabila terdapat pihak cuba mengeksploitasi teknologi ini dengan menuntut karya janaan AI sebagai ciptaan sendiri demi mengaut keuntungan royalti secara tidak sah.
Badan pelindung hak cipta, Music Authors’ Copyright Protection (MACP) Berhad, telah memperkenalkan garis panduan rasmi yang menetapkan sebarang karya janaan penuh AI tidak layak didaftarkan bagi menerima agihan royalti.
Selari dengan Akta Hak Cipta 1987, MyIPO turut menegaskan perlindungan hanya diberikan kepada individu atau ‘orang asli’. Malah, penggunaan karya berhak cipta bagi tujuan latihan data AI tanpa kebenaran kini diklasifikasikan sebagai pelanggaran undang-undang.###