Tolak politik perkauman, agama kekal keharmonian

Datuk Seri Amirudin Shari

AMPANG, 18 Januari – Rakyat di Selangor diseru menolak politik sempit berasaskan perkauman dan agama yang boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk, demikian tegas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seru rakyat menolak politik sempit berasaskan perkauman dan agama yang mengancam keharmonian masyarakat majmuk.
  • Selangor kekal aman kerana rakyat menghargai kepelbagaian kaum dan saling menghormati.
  • Pesta Ponggal diserlahkan sebagai simbol kesyukuran, kerja keras dan harapan merentas kaum serta agama.
  • Acara diadakan di beberapa lokasi bagi menonjolkan keterangkuman budaya dan perpaduan negeri.

Beliau percaya negeri itu kekal aman kerana rakyatnya menghargai kepelbagaian kaum dan hidup saling menghormati.

“Pendekatan politik yang memisahkan rakyat hanya mencetuskan pertelagahan dan tidak membawa sebarang manfaat kepada negeri yang dibina atas asas kepercayaan serta perpaduan.

“Pesta Ponggal bukan sekadar perayaan masyarakat India, sebaliknya melambangkan kesyukuran, kerja keras dan harapan baharu merentas kaum serta agama, selaras dengan pendekatan Kerajaan Madani yang menekankan kesejahteraan dan keharmonian rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Pesta Ponggal Peringkat Negeri Selangor 2026 di Dewan Portal Rasmi Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini.

Pesta Ponggal di Selangor diadakan di dua lokasi, termasuk di Dewan Dato’ Ahmad Razali, sebagai simbol keterangkuman dan perpaduan budaya di Selangor.

Sementara itu, Exco Pembasmian Kemiskinan Selangor, V. Papparaidu berkata, lebih 2,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan Pesta Ponggal peringkat negeri yang julung kali diadakan, termasuk dari luar Selangor.