
PUTRAJAYA, 18 Januari -Wisma Putra mengesahkan bahawa Nadiah Kesumawati yang dilaporkan hilang pada Khamis lepas (15 Januari), telah meninggal dunia.
- Wisma Putra mengesahkan Nadiah Kesumawati yang dilaporkan hilang telah meninggal dunia.
- Kedutaan Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral di Jeddah memberikan bantuan konsular penuh kepada keluarga.
- Wisma Putra menghargai kerjasama pihak berkuasa Arab Saudi dan menegaskan keselamatan warganegara tetap keutamaan.
Kementerian Luar Negeri menerusi satu kenyataan memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh bersama Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah sedang memberikan bantuan konsular sepenuhnya kepada pihak keluarga bagi memastikan semua urusan berjalan lancar.
Wakil perwakilan diplomatik Malaysia turut berada di lapangan bagi memantau perkembangan secara dekat serta memudah cara proses seterusnya.
“Kementerian menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham, serta merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Arab Saudi atas kerjasama mengendalikan segala urusan yang perlu,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, Wisma Putra tidak akan mengulas lanjut mengenai butiran peribadi individu bagi menghormati sensitiviti semua pihak.
Kementerian menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan warganegara Malaysia di luar negara tetap menjadi keutamaan.