
KEMAMAN, 30 Mei – Tiga pekerja berdepan detik cemas selepas sebuah kapal tangki yang sedang diselenggara terbakar dalam kejadian di Jeti Muara Sungai Kemaman dekat Kampung Bukit Kuang, di sini kira-kira pukul 3.18 petang tadi.
- Pekerja menggunakan pemotong gas oksigen untuk memotong besi di atas kapal panjang 53.7 meter, lebar 10 meter.
- Semua pekerja berumur 39 hingga 46 tahun berjaya menyelamatkan diri dengan terjun ke daratan sebelum kebakaran merebak.
- Anggota bomba tiba segera dan berjaya mengawal kebakaran kira-kira sejam kemudian.
- Kebakaran memusnahkan kira-kira 45 peratus bahagian tengah kapal dan pihak bomba sedang menyiasat punca kejadian.
Kapal terbabit dipercayai ‘kapal hantu’ yang ditemukan hanyut berhampiran pelantar minyak di perairan Terengganu pada Ogos tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd Razi Rosli dalam kenyataan memaklumkan, ketika kejadian tiga pekerja terbabit sedang menjalankan kerja-kerja memotong besi di atas kapal berkenaan untuk dilupuskan.
“Kesemua mereka yang berumur antara 39 dan 46 tahun berjaya menyelamatkan diri dengan terjun ke daratan dan sebelum kebakaran tersebut merebak.
“Polis menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira pukul 3.18 petang. Pekerja terbabit dipercayai melakukan kerja memotong mengunakan pemotong gas oksigen di atas kapal berkenaan sepanjang 53.7 meter dan lebar 10 meter itu,” menurut kenyataan itu.
Superintenden Mohd Razi ketika dihubungi berkata, kapal berkenaan dikatakan tiba-tiba terbakar namun tiga pekerja terlibat sempat turun untuk menyelamatkan diri.
Anggota bomba tiba di tempat kejadian pada pukul 3.23 petang dan berjaya mengawal kebakaran kira-kira sejam kemudian.
Kapal tangki berkenaan terbakar di bahagian tengah dengan anggaran kemusnahan sebanyak 45 peratus dan pihak bomba sedang menyiasat punca kebakaran.
Pada Ogos tahun lalu media melaporkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesan sebuah ‘kapal hantu’ yang hanyut di perairan Pelantar Minyak Semangkok A, Terengganu.