
SEGAMAT, 17 Mei – Tiga jawatankuasa ditubuhkan oleh Kementerian Pertahanan bagi mengkaji tindakan wajar yang boleh diambil susulan kegagalan syarikat pertahanan Norway, Kongsberg, membekalkan sistem peluru berpandu anti kapal Naval Strike Missile (NSM) kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
- Kongsberg gagal membekalkan peluru berpandu anti kapal NSM kepada Tentera Laut Diraja Malaysia.
- Kementerian Pertahanan menubuhkan tiga jawatankuasa untuk mengkaji tindakan susulan dan penyelesaian isu.
- Jawatankuasa pertama fokus proses tuntutan dan pelanggaran kontrak; kedua mencari alternatif pembekal atau penyelesaian.
- Sebanyak 95 peratus daripada kontrak kira-kira RM600 juta telah dibayar oleh kerajaan kepada syarikat tersebut.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jawatankuasa berkenaan turut meneliti penyelesaian terhadap isu tersebut, termasuk aspek tuntutan akibat pelanggaran kontrak serta kegagalan syarikat berkenaan sebagai pembekal.
“Tiga jawatankuasa telah dibentuk bagi mengkaji perkara berkenaan.
“Jawatankuasa pertama akan meneliti tindakan yang wajar diambil, khususnya berkaitan proses membuat tuntutan serta kegagalan syarikat untuk membekalkan perkhidmatan atau barangan seperti yang dipersetujui.
“Jawatankuasa kedua pula akan mencari alternatif lain bagi memastikan keperluan dapat dipenuhi.
“Manakala jawatankuasa ketiga akan menumpukan kepada usaha mencari saluran diplomasi yang sesuai bagi menyelesaikan isu tersebut secara berhemah dan berkesan,” kata beliau selepas Majlis Pelancaran Program Jiwa Murni (PJM) MADANI Kementah 2026 di Dewan Semai Bakti Felda Maokil, Segamat, Johor.
Terdahulu, beliau diminta mengulas isu kegagalan syarikat pertahanan Norway tersebut menghantar peluru berpandu anti kapal NSM yang akan digunakan oleh Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Sebanyak 95 peratus daripada nilai kontrak berjumlah kira-kira RM600 juta telah diselesaikan oleh kerajaan kepada syarikat berkenaan.