fb fb fb fb fb

Tiba musim tengkujuh, pendapatan nelayan terjejas teruk

TERENGGANU, 14 Disember- Setiap kali tibanya musim tengkujuh, golongan nelayan di Negeri Terengganu adalah antara yang paling terkesan apabila tidak dapat ke laut sekali gus
menyebabkan hilang punca pendapatan.

Golongan nelayan menyifatkan, sepanjang enam bulan bermula dari akhir Oktober hingga April adalah waktu getir terutama kepada nelayan pesisir pantai dimana mereka tiada pendapatan kerana tidak dapat turun ke laut akibat dari keadaan cuaca tidak menentu.


(Nelayan-nelayan mengisi masa lapang dengan menjahit pukat selepas tidak dapat keluar menangkap ikan pada musim tengkujuh)

Bagi 415 orang nelayan pesisir pantai di daerah Kemaman dan Dungun, keadaan tersebut menyebabkan mereka terpaksa mengikat perut kerana tiada pendapatan dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan sebanyak RM300.

Tinjauan di perkampungan nelayan di Kuala Paka mendapati jeti yang sebelum ini sibuk dengan aktiviti kini menjadi suram kerana nelayan tidak dapat turun ke laut berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Nelayan yang ditemui berkata, musim tengkujuh adalah waktu paling mencabar apabila tiada pendapatan di kala mereka bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi dan harga barang keperluan asas yang semakin mahal.

"Tengok lah yang mana ada simpanan, yang ada simpanan itu alhamdulillah, cukup makan. Makna yang tiada simpanan itu kena pandai bajet, ye lah maknanya pada keadaan musim-musim bulan tengkujuh ini, dengan keadaan masa hendak buka sekolah bulan januari nanti, atas rezeki masing-masing. Mana yang ada pandai simpan, insya-Allah boleh lah," kata Kamaruddin.

"Pendapatan memang tiada..sekarang musim tengkujuh kan..masa untuk ke laut bukan sekarang, boleh turun ke laut pada bulan lima, enam, tujuh, lapan, Mana ada lebih kita simpan sikit..kita masuk bank sikit..untuk buat makan pada  musim macam ini lah..musim tengkujuh dan untuk belanja harian," kata Zakaria Abdul Rahman.

Akibat dari keadaan tersebut ada nelayan yang terpaksa menumpang bot besar untuk terus ke laut memandangkan perlu menyara keluarga dan ada juga yang melakukan kerja-kerja kampung sekiranya ada yang meminta bantuan.

Kini mereka runsing berikutan duit yang disimpan selama ini sudah mula berkurangan dan terpaksa memikirkan alternatif lain untuk menambah pendapatan serta berharap agar pihak kerajaan dapat menyalurkan bantuan tambahan selain daripada elaun bulanan yang diterima mereka.

Media Baharu