fb fb fb fb fb

Tiada kompromi terhadap penyelewengan, rasuah, salah guna dana zakat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Oktober - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan, rasuah atau salah guna kuasa, khususnya membabitkan pengurusan dana zakat.

Ia susulan laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyalahgunaan dalam pengurusan bantuan dana zakat di bawah salah satu agensi agama.

Beliau berkata tiada usaha untuk melindungi mana-mana pihak, malah tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai atau staf yang terbabit mengikut undang-undang.

"Dana yang diamanahkan untuk kebajikan umat Islam mesti diuruskan dengan penuh integriti, amanah dan ketelusan", katanya menerusi satu kenyataan.

"Saya dimaklumkan bahawa siasatan dalaman telah dimulakan dan laporan rasmi telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas dan menyeluruh.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pengadu dan masyarakat awam yang berani tampil melaporkan salah laku, sambil menegaskan bahawa integriti adalah tanggungjawab bersama.

"Keberanian sebegini amat dihargai dan menjadi contoh kepada warga kerja lain serta masyarakat bahawa integriti adalah tanggungjawab bersama.

"Pada masa yang sama, saya menggalakkan orang ramai agar segera membuat aduan kepada pihak berkuasa atau agensi agama sekiranya mengetahui sebarang bentuk penyelewengan, salah guna kuasa atau rasuah. Setiap laporan akan diteliti dan disiasat dengan serius, tanpa sebarang kompromi.

Datuk Dr Mohd Na’im turut mengingatkan semua agensi di bawah portfolio Hal Ehwal Agama supaya tidak mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan.

"Kegagalan menjaga integriti bukan sahaja mencemar nama baik institusi, malah mengkhianati kepercayaan umat Islam.

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut bekerjasama rapat dengan SPRM serta agensi penguat kuasa lain bagi memastikan setiap salah laku ditangani dengan tegas dan telus.

"Tiada kompromi terhadap integriti. Tiada perlindungan terhadap salah laku", katanya.

ROSLINA BINTI DIN