Tiada cadangan hukuman mati bagi kes pemandu mabuk, kerajaan tumpu aspek pampasan – Menteri Pengangkutan

Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 April – Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan hukuman mati di bawah Akta Pengangkutan Jalan bagi kes pemanduan mabuk, sebaliknya memberi tumpuan kepada pindaan undang-undang bagi memastikan keluarga mangsa menerima pampasan sewajarnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes serius masih boleh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika asas perundangan mencukupi.
  • Kerajaan telah menghentikan hukuman mati mandatori, jadi isu hukuman mati khusus tidak sedang diteliti sekarang.
  • Keutamaan ialah pindaan untuk membolehkan mahkamah memerintahkan pampasan terus kepada keluarga mangsa, mempercepatkan keadilan dan kurangkan kos guaman.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ketiadaan peruntukan hukuman mati dalam akta berkenaan tidak menjejaskan tindakan terhadap kes serius kerana pesalah masih boleh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika terdapat asas perundangan yang mencukupi.

“Kerajaan telah menghentikan hukuman mati mandatori, jadi ini bukan perkara yang sedang kita teliti ketika ini,” katanya kepada media selepas merasmikan program Spot It: Kempen Kesedaran Titik Buta dan Keselamatan Jalan Raya di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), di sini, hari ini.

Menurut beliau, peruntukan sedia ada sudah mencukupi untuk mendakwa kes yang melibatkan kehilangan nyawa tanpa perlu mewujudkan hukuman mati khusus di bawah Akta Pengangkutan Jalan.

Sebaliknya, Anthony berkata keutamaan kerajaan ketika ini ialah memperkukuh pindaan akta berkenaan bagi membolehkan mahkamah memerintahkan pampasan terus kepada keluarga mangsa selepas sabitan kesalahan.

Katanya, ketika ini keluarga mangsa masih perlu memfailkan saman sivil secara berasingan untuk menuntut ganti rugi, satu proses yang lazimnya mengambil masa panjang selain melibatkan kos guaman yang tinggi.

“Jika pesalah didapati bersalah, selain hukuman penjara dan penalti, mereka juga akan dipertanggungjawabkan untuk membayar pampasan kepada keluarga mangsa,” katanya.

Beliau berkata cadangan itu sedang diperhalusi bagi membolehkan mekanisme pampasan dimasukkan ke dalam peruntukan undang-undang sedia ada, sekali gus mempercepatkan proses keadilan kepada keluarga mangsa.