
MEKAH, 1 Mei – Lembaga Tabung Haji (TH) menetapkan tempoh maksimum dua jam bagi mengesan dan membantu jemaah haji yang tersasar selepas menunaikan ibadah di Masjidil Haram, sebagai langkah memastikan kebajikan mereka terus terpelihara sepanjang berada di Tanah Suci.
- Tindakan segera diambil sebaik menerima maklumat daripada pusat panggilan bagi membantu jemaah yang tidak mengetahui arah pulang ke hotel.
- SOP ditetapkan bagi memastikan setiap aduan ditangani dengan pantas supaya tidak menjejaskan tumpuan jemaah melaksanakan ibadah.
- Aduan dikategorikan kepada tiga tahap: ringan, sederhana dan berat, dengan masa penyelesaian berbeza mengikut tahap.
- Nasihatkan jemaah membawa kad pengenalan dan maklumat penginapan untuk memudahkan bantuan jika berlaku kecemasan atau tersasar.
Pengurus Unit Khidmat Pelanggan Operasi Haji, Azrisham Mahmad, berkata tindakan segera akan diambil sebaik sahaja pihaknya menerima maklumat daripada pusat panggilan berhubung jemaah yang tidak mengetahui arah pulang ke hotel.
Menurut beliau, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan itu bertujuan memastikan setiap aduan ditangani dengan pantas agar tidak menjejaskan fokus jemaah dalam melaksanakan ibadah haji.
“Jika terdapat aduan daripada jemaah haji, kita akan menyelesaikannya dengan kadar segera supaya masalah tersebut tidak mengganggu tumpuan mereka untuk melaksanakan ibadah,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, setiap aduan yang diterima akan dikategorikan kepada tiga tahap iaitu ringan, sederhana dan berat, dengan tempoh penyelesaian berbeza mengikut tahap kes.
Tambahnya, antara aduan yang kerap diterima setakat ini termasuk kerosakan bagasi susulan perjalanan jauh dari Madinah ke Mekah, selain kes jemaah terpisah daripada kumpulan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan jemaah agar sentiasa membawa kad pengenalan diri serta maklumat penginapan bagi memudahkan urusan bantuan sekiranya berlaku kecemasan.