
RAWANG, 1 Mei – Kerajaan telah menggerakkan tindakan diplomatik dengan menghubungi beberapa negara teluk yang bersahabat, bagi memastikan keselamatan dan pembebasan rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, susulan penahanan mereka oleh rejim Israel.
- Kerajaan mengecam tindakan kejam Israel yang melebihi batas, termasuk serangan di perairan antarabangsa.
- Israel sengaja menghalang usaha bantuan kemanusiaan seperti makanan, minuman, ubat-ubatan dan pakaian.
- Perdana Menteri mengajak seluruh rakyat mendoakan keselamatan rakyat Malaysia dan warga lain yang kini ditahan oleh Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan memandang serius tindakan kejam Zionis yang bertindak melampaui batas, lebih-lebih lagi dilakukan di perairan antarabangsa.
“Kita sedang ikhtiar, saya dah hubungi Kementerian Luar dan kita hubungi juga negara sahabat, yang mana saya boleh hubungi saya akan hubungi, Insya-Allah” katanya kepada media sejurus menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Iman di sini, hari ini.
Beliau turut mengecam perbuatan Israel yang terus-terusan menyerang beberapa wilayah di negara teluk, termasuk sengaja menghalang usaha bantuan kemanusian oleh negara luar.
“Dia tak puas hati dia bunuh wanita dan anak-anak, dia tak puas hati dia menyerang Iran, Lubnan dan Gaza, dan sekarang orang lain nak bantu, bukan membawa senjata tetapi bawa makanan, minuman dan ubat-ubatan dan beberapa kelengkapan pakaian,” katanya.
Perdana Menteri turut mengajak semua mendoakan keselamatan rakyat Malaysia dan rakyat negara lain yang kini dalam tahanan Israel.