Pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri cermin keprihatinan kerajaan

Inisiatif itu dijangka memanfaatkan lebih 480,000 pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Pengumuman kerajaan untuk meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi membolehkan perlindungan diperluas kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, amat dialu-alukan

RINGKASAN BERITA AI
  • Profesor Madya Dr Mazlan Ali puji inisiatif sebagai langkah baik dan signifikan untuk kebajikan pekerja.
  • Pindaan bertujuan mengurangkan kematian pekerja rentas sempadan, purata satu kes setiap minggu atau kira-kira 54 kes setahun.
  • Pengumuman oleh Perdana Menteri sempena Hari Pekerja mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pekerja.

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berpandangan, langkah tersebut merupakan satu inisiatif yang amat baik dan signifikan.

Menurut beliau, usaha memperluas skop perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada rakyat Malaysia di luar negara, khususnya pekerja rentas sempadan mampu memberi manfaat besar kepada golongan berkenaan.

“Secara purata, satu kematian direkodkan setiap minggu melibatkan pekerja rentas sempadan, iaitu kira-kira 54 kes setahun. Jadi, pindaan akta ini dilihat mampu memberi perlindungan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Tambah beliau, langkah itu turut mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pekerja dan menjadi hadiah bermakna bersempena sambutan Hari Pekerja, hari ini.

Pindaan akta itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Inisiatif itu akan dimulakan dengan pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura yang dijangka dapat memanfaatkan lebih 480,000 pekerja yang mencari rezeki merentasi Tambak Johor.