Bantuan segera bencana ribut di Bertam akan disalurkan

Proses pemulihan dilaksanakan dengan segera

KEPALA BATAS, 1 Mei Bantuan kepada semua yang terjejas akibat kejadian ribut di Bertam akan disalurkan dalam masa terdekat bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan dengan segera.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 30 rumah, empat sekolah dan beberapa premis perniagaan dilaporkan rosak akibat angin kencang luar biasa.
  • ADUN Bertam, Datuk Seri Reezal Merican, menghubungi beberapa agensi termasuk Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang di bawah JPM.
  • Permohonan dihantar kepada Kementerian Pendidikan dan ICU di bawah Bahagian Tuntutan Khas untuk mempercepat kerja-kerja pemulihan.
  • Tindakan segera diselaraskan bersama agensi bagi memastikan keselamatan penduduk dan urusan baik pulih dilaksanakan tanpa kelewatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, lebih 30 buah rumah, empat sekolah serta beberapa premis perniagaan dilaporkan mengalami kerosakan akibat angin kencang luar biasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya telah menghubungi beberapa agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan, termasuk Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang di bawah Jabatan Perdana Menteri (ICU).

Menurut beliau, permohonan juga telah dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), khususnya di bawah peruntukan tuntutan khas bagi mempercepatkan kerja-kerja pemulihan.

“Ini merupakan kejadian di luar jangkaan. Kita telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan juga ICU di bawah Bahagian Tuntutan Khas kerana kerja-kerja pemulihan perlu dilaksanakan dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdul Kadir di Bertam, di sini.

Kejadian ribut tersebut turut menyebabkan pokok tumbang selain bumbung rumah, sekolah dan premis perniagaan diterbangkan angin kencang.

Tambah beliau, tindakan segera akan terus diselaraskan bersama agensi terlibat bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin serta urusan baik pulih dapat dilaksanakan tanpa kelewatan.