Tiga gajah Malaysia akan dibawa pulang dari Jepun – MB Pahang

Dara, Amoi dan Kelat dikesan sukar sesuaikan diri dengan cuaca

KUALA LUMPUR, 1 Mei Tiga ekor gajah Malaysia yang dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat akan dibawa pulang segera dari Jepun susulan kesukaran menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca dan habitat di negara berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • MB Pahang berkata kerajaan negeri tidak dimaklumkan mengenai pemindahan haiwan itu sebelum ia tular.
  • Video tular menunjukkan haiwan mengalami tekanan akibat perubahan persekitaran dan menjejaskan tahap kesihatan mereka.
  • Kerajaan negeri menggesa perbincangan segera dengan kementerian berkaitan, Zoo Negara dan Zoo Taiping serta mencadangkan PKGK Kuala Gandah.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai pemindahan haiwan berkenaan ke luar negara sehingga perkara itu tular di media sosial.

Menurut beliau, penularan video berkaitan tiga gajah tersebut menunjukkan haiwan berkenaan mengalami tekanan akibat perubahan persekitaran, yang turut menjejaskan tahap kesihatan mereka dari semasa ke semasa.

“Kami tidak menerima maklumat berhubung pemindahan tersebut. Hanya mengetahui mengenainya selepas ia tular di media sosial,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu turut tidak dimaklumkan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sebelum ini.

Sehubungan itu, pihaknya telah menggesa agar isu berkenaan diselesaikan segera melalui perbincangan dengan kementerian berkaitan serta pihak Zoo Negara Malaysia, khususnya Zoo Taiping, bagi mempercepatkan proses membawa pulang haiwan berkenaan.

Tambah beliau, lokasi penempatan semula gajah tersebut telah dicadangkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang, yang mempunyai kemudahan sesuai untuk penjagaan dan pemulihan.