Solat hajat, Qunut Nazilah doakan keselamatan semua aktivis GSF

Dr Zulkifli Hasan (kiri) diberi penerangan oleh Datuk Sani Araby Abd Alim Araby di Pusat Kawalan Sumud Nusantara 

BANGI, 1 Mei – Kerajaan Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 serta memantau rapat perkembangan terkini berkaitan aktivis yang terlibat, termasuk 10 rakyat Malaysia yang masih belum dikenal pasti lokasi mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengikuti perkembangan melalui pusat kawalan misi dan bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan untuk memastikan kebajikan peserta terus diberi perhatian.
  • Masjid dan surau digerakkan mendoakan khusus melalui Qunut Nazilah dan solat hajat bagi mendoakan misi serta keselamatan semua aktivis.
  • Agensi jabatan bersiap sedia menilai keperluan, salurkan bantuan termasuk aspek kerohanian, dan terus bekerjasama dengan penganjur misi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya sentiasa mengikuti rapat perkembangan terkini melalui pusat kawalan misi serta bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan bagi memastikan kebajikan semua peserta terus diberi perhatian.

“Malah, kita telah menggerakkan masjid-masjid dan surau-surau mendoakan secara khusus melalui Qunut Nazilah dan juga solat hajat bagi mendoakan misi GSF 2.0 serta kesemua aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia yang kita tidak pasti keberadaan mereka.

“Di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga kita bergerak rapat dengan Global Sumud Flotilla dan rakan-rakan yang lain untuk meneruskan solidariti kita dengan rakan-rakan di Palestin, di Gaza dan kita sentiasa konsisten bersama dengan YAB Perdana Menteri, memberikan sokongan penuh terhadap misi dan juga bersolidariti dengan saudara kita di Gaza dan di Palestin,” katanya kepada media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara di sini.

Mengulas mengenai sokongan kepada keluarga peserta yang ditahan, beliau berkata, pihaknya sentiasa menilai keperluan semasa dan bersedia menyalurkan bantuan sewajarnya, termasuk daripada aspek kerohanian.

Beberapa agensi bawah jabatan itu telah bersiap siaga untuk digerakkan bagi membantu, selain meneruskan kerjasama sedia ada dengan pihak penganjur misi dan melihat keperluan secara khusus dari semasa ke semasa bagi memastikan sokongan terbaik dapat diberikan.