Status keselamatan 10 rakyat Malaysia belum diketahui – SNCC

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abd Alim Araby

BANGI, 1 Mei Status keselamatan 175 aktivis kemanusiaan, termasuk 10 rakyat Malaysia masih belum dapat disahkan selepas lebih 38 jam ditahan rejim Israel di perairan antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • SNCC belum menerima pengesahan rasmi mengenai keadaan aktivis terbabit.
  • Laporan tidak rasmi menyebut kemungkinan pembebasan di Greece; maklumat itu belum disahkan oleh saluran diplomatik atau pasukan di lapangan.
  • Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra dan Konsul Kehormat di Greece menjalankan usaha diplomasi; 21 bot dikenal pasti selamat, satu bot hilang hubungan.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abd Alim Araby berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang pengesahan rasmi berhubung keadaan kesemua aktivis terbabit.

Walaupun terdapat laporan tidak rasmi mengatakan kesemua aktivis berkenaan akan dibebaskan di Greece pada pukul 7 pagi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia) hari ini, namun maklumat tersebut belum dapat disahkan oleh saluran diplomatik, mahupun pasukan di lapangan.

“SNCC telah berhubung dengan YAB Kennedy Flynn dan beliau menyatakan pendirian tegas kerajaan Malaysia, termasuk kecaman terhadap pelanggaran dan pencabulan undang-undang antarabangsa oleh pihak rejim, serta memberi komitmen berterusan dan maksima yang sedang digerakkan bagi membebaskan semua tahanan.

“SNCC dimaklumkan juga oleh YAB Perdana Menteri bahawa kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra telah memulakan usaha semaksima mungkin untuk menghubungi Konsul Kehormat Malaysia di Greece dan juga sahabat-sahabat negara melalui usaha diplomasi bagi membantu dan juga menyelaraskan usaha pembebasan, khususnya aktivis Malaysia,” katanya dalam Sidang Media Khas Sumud Nusantara di sini, hari ini.

Setakat ini, 21 daripada keseluruhan 22 bot misi telah dikenal pasti selamat dan kini berada di perairan Greece, manakala sebuah bot dipercayai disabotaj dan terputus hubungan.