
KEPALA BATAS, 1 Mei – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang memberi jaminan semua sekolah yang terjejas akibat ribut di kawasan Bertam akan berada dalam keadaan selamat sebelum sesi persekolahan bermula Isnin ini.
- Empat sekolah rosak akibat ribut; bumbung tercabut, kantin dan cermin tingkap kelas rosak; kemudahan asas turut terjejas.
- Kejadian berlaku selepas waktu persekolahan dan tidak melibatkan kecederaan dalam kalangan murid.
- Kerja pembersihan, penilaian dan baik pulih dijalankan segera sepanjang hujung minggu bagi memastikan keselamatan dan keselesaan murid.
Kejadian ribut kira-kira pukul 6.30 petang semalam menyebabkan empat sekolah mengalami kerosakan, termasuk bumbung tercabut, kantin rosak serta cermin tingkap kelas pecah. Beberapa kemudahan asas turut terjejas akibat angin kencang luar biasa.
Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohd Dziauddin Mat Saad berkata, keutamaan pihaknya adalah memastikan keselamatan murid dan warga sekolah sentiasa terjamin.
Menurut beliau, kejadian berlaku selepas waktu persekolahan dan tidak melibatkan sebarang kecederaan dalam kalangan murid.
“Keutamaan kami adalah memastikan keselamatan murid. Sepanjang tempoh Jumaat hingga Ahad, kerja-kerja pembersihan dan penilaian kerosakan akan dilaksanakan bagi memastikan pelajar asrama dapat kembali dengan selamat serta sesi persekolahan pada Isnin dapat berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau sekolah-sekolah yang terjejas bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Tambah beliau, kerja-kerja baik pulih akan dilaksanakan segera bagi memastikan semua kemudahan sekolah dapat digunakan dalam keadaan selamat dan kondusif.