Kebakaran dipercayai berpunca daripada tong gas, mangsa dirujuk ke HSNZ

Kebakaran sebuah kedai makan di Dungun

DUNGUN, 1 Mei – Seorang tukang masak wanita mengalami kecederaan melecur pada bahagian muka, leher dan tangan dalam kejadian kebakaran di sebuah kedai makan di sini, tengah hari tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Api dipercayai berpunca daripada tong gas memasak yang tiba-tiba menyambar ke arah mangsa.
  • Seorang saksi kedai bersebelahan cuba membantu memadam tetapi gagal kerana api marak dan banyak tong gas.
  • Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Dungun dengan sebuah jentera mengawal kebakaran pada pukul 2.19 petang.
  • Mangsa yang cedera dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Dungun sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.44 petang itu, mangsa berusia 50 tahun dipercayai disambar api ketika sedang memasak di bahagian dapur premis berkenaan.

Sebelum kejadian, mangsa dilaporkan berada bersama anak perempuannya bagi menyediakan makanan.

Api dipercayai berpunca daripada tong gas memasak sebelum secara tiba-tiba menyambar ke arah mangsa, menyebabkan kecederaan melecur.

Seorang saksi di kedai bersebelahan yang menyedari kejadian itu cuba membantu memadamkan kebakaran, namun tidak berjaya berikutan api marak dengan cepat.

“Ketika itu saya sedang mencuci mesin, kemudian terdengar bunyi api gas yang kuat. Saya keluar dan melihat api sudah besar. Saya cuba menyembur air, namun api semakin marak dan saya tidak berani mendekati kerana terdapat banyak tong gas,” kata saksi, Mohd Zazali Husin.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun dengan kekuatan sebuah jentera berjaya mengawal kebakaran pada pukul 2.19 petang.

Mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Dungun sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

Operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.58 petang.