Remaja 13 tahun lemas ketika mandi-manda dengan rakan

FOTO PGO JBPM

MIRI, 1 Mei – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun maut selepas dipercayai lemas ketika mandi bersama tujuh rakannya di kawasan kolam di Lorong Desa Senadin 2C-1, Senadin, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • PGO JBPM menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.04 pagi; BBP Lutong tiba di lokasi pada 11.16 pagi.
  • Operasi carian diketuai Pegawai Bomba Aloyses Ganang menggunakan kaedah 'surface searching' di sekitar lokasi.
  • Mangsa ditemukan pada 12.15 tengah hari di dasar kolam pada kedalaman kira-kira 10 kaki; CPR diberikan tetapi disahkan meninggal oleh KKM.
  • Semua tujuh rakan mangsa dilaporkan selamat; operasi dibantu PDRM ditamatkan pada 1.06 tengah hari dan mayat diserahkan polis.

Mangsa, Jackson Mara, yang juga pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pujut Miri, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.04 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong digerakkan ke lokasi.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba, Aloyses Ganang, tiba di lokasi pada pukul 11.16 pagi dan mendapati mangsa telah hilang selepas dipercayai mandi bersama rakan-rakannya.

“Operasi mencari dan menyelamat dijalankan menggunakan kaedah ‘surface searching’ di sekitar kawasan kejadian,” menurut kenyataan itu.

Mangsa ditemukan pada pukul 12.15 tengah hari di dasar kolam pada kedalaman kira-kira 10 kaki sebelum dibawa naik ke permukaan dan diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas KKM.

Kesemua tujuh rakan mangsa dilaporkan selamat.

Operasi yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditamatkan pada pukul 1.06 tengah hari selepas mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti air, khususnya di kawasan tidak dipantau dan berisiko tinggi, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.